'Jangan ulangi kesilapan, tangguh dulu kemasukan pelancong China'

Iklan
Khairil Nizam

SHAH ALAM - Kerajaan diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan yang menjadi punca penularan Covid-19 di negara ini dua tahun lalu, dengan menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China susulan peningkatan kes jangkitan wabak yang melonjak di republik itu ketika ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada 2020 apabila tiada langkah mencegah kemasukan pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

Iklan
Iklan

Justeru menurutnya, kerajaan perlu lebih berwaspada kerana jangkaan kira-kira 300,000 pelancong dari China yang akan berkunjung ke Malaysia pada tahun depan adalah membimbangkan.

"Kerajaan perlu ambil tindakan tegas bagi menyekat kemasukan pelancong China sehingga kes harian Covid-19 di negara itu reda.

Iklan

"Ambil iktibar daripada kesilapan Pakatan Harapan (PH) pada dua tahun lalu. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali.

"Pas mencadangkan agar ditangguhkan secara sementara kemasukan pelancong dari China, memerhati perkembangan di China dan negara-negara lain yang telah pun menerima pelancong dari China, sebelum membenarkan semula mereka masuk ke dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Pada masa sama, Khairil Nizam mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan penularan wabak berkenaan.

"Rakyat juga dinasihatkan untuk kekal menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan menitikberatkan penggunaan pelitup muka dan tidak berada di kawasan yang sesak,” ujarnya.

Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad membangkitkan persoalan sama ada kerajaan sudah bersedia untuk berhadapan dengan gelombang baharu Covid-19 dari China, berikutan situasinya yang dilihat masih kritikal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, ramai rakyat negara berkenaan disahkan positif di Itali sejurus satu pemeriksaan dibuat ketika mereka tiba di Lapangan Terbang Milan, baru-baru ini.

Menurut laporan antarabangsa, Malaysia merupakan antara 10 negara pilihan rakyat China untuk melancong menerusi carian di laman web Trip.com Group.

Pengendali laman web berkenaan turut menyenaraikan beberapa negara lain yang menjadi pilihan warga tersebut seperti Jepun, Thailand, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Singapura, Australia, United Kingdom, Macau dan Hong Kong.