Sultan Selangor, Tengku Permaisuri titah ketepi fahaman politik

Iklan
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin bertitah agar setiap ahli masyarakat mengetepikan fahaman politik sempena tahun baharu 2023. - Foto FB Selangor Royal Office

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada Sabtu bertitah agar setiap ahli masyarakat mengetepikan fahaman politik dan perbezaan luaran sempena tahun baharu 2023.

Baginda berdua dalam perutusan Tahun Baharu 2023 menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office bertitah supaya usaha itu dilaksanakan dalam mengatasi segala permasalahan dan cabaran yang sedang didepani oleh negara yang disayangi.

Iklan
Iklan

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin tidak mahu ada lagi golongan khususnya ahli-ahli politik bertelagah sesama sendiri dan mementingkan kepentingan peribadi semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab masing-masing untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor bertitah mahu semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama untuk membina kembali negara yang semakin pulih selepas fasa pandemik dan membawa semula negara ke peringkat lebih baik dalam semua aspek termasuk sosial, politik dan ekonomi.

Iklan

Dalam pada itu, baginda berdua mendoakan agar 2023 akan membawa sinar baharu yang lebih gemilang dan cemerlang untuk sekalian rakyat.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin menyeru agar segenap kelompok masyarakat menyematkan azam tahun baharu untuk berjimat cermat dalam menguruskan ekonomi dan gaya hidup harian masing-masing khususnya dalam persekitaran prospek ekonomi dunia yang agak membimbangkan pada tahun hadapan. - Bernama

Iklan