KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bertekad untuk membantu membarakan semangat dan memacu potensi para atlet negara dalam pengembaraan menuju misi besar Malaysia merealisasikan impian meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, perjalanan Road to Gold itu perlu diperkukuh bermula hari ini sempena pembuka tirai tahun baharu 2023.
"Dalam mesej tahun baharu, saya mahu para atlet mempunyai visi Road to Gold iaitu usaha untuk mencapai pingat emas di Olimpik Paris pada tahun 2024.
"Berdasarkan interaksi bersama para atlet, saya dapat memerhatikan semangat kuat mereka untuk cemerlang dalam sukan.
"Harapan saya pada 2023 adalah untuk memperkuatkan lagi semangat ini dengan mewujudkan sistem sokongan supaya mereka dapat memenuhi potensi masing-masing.
"Malaysia mempunyai percikan api dalam diri yang perlu dinyalakan. Negara kita rindukan zaman keemasan. Bagi mengapainya, kita mesti percaya bahawa Malaysia boleh naik ke pentas dunia. Malaysia Boleh,” katanya kepada Sukan Sinar.
Beliau menjelaskan, Road to Gold bukan sekadar membawa pulang kilauan emas dari Paris, sebaliknya ia memberi tanda aras bagaimana KBS melabur buat atlet dan sesuatu pertandingan itu bermakna buat mereka.
Katanya, ia juga sebagai tanda aras bagaimana pihaknya boleh memupuk ekosistem sukan secara lestari, mengumpul data di peringkat akar umbi dan bagaimana untuk meningkatkan prestasi sukan serta perkembangan karier mereka.
"Misi ini penting untuk dicapai kerana ia akan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda yang perlu ada kepercayaan bahawa impian mereka boleh dicapai jika mereka tetap fokus dan bersemangat,” katanya.
Hannah yang memimpin KBS sejak sebulan lalu turut mengakui bagi mencapai impian Road to Gold itu memerlukan kerjasama serta sokongan semua pihak termasuk atlet, organisasi sukan dan KBS.
"Kita perlu bekerjasama dan ia perlu dilihat sebagai usaha kolektif. Bagi membudayakan sukan sebagai gaya hidup sihat, ibu bapa dan pimpinan masyarakat tempatan juga memainkan peranan penting mendorong dan mewujudkan pelbagai platform untuk aktiviti bersukan,” katanya.
Beliau juga berbesar hati untuk memastikan bahawa infrastruktur sukan mudah diakses oleh semua warga di negara ini.
"Saya percaya bahawa sektor korporat boleh menyumbang untuk membolehkan hasrat ini dicapai dalam usaha menaik taraf infrasukan atau membantu dalam anjuran pelbagai aktiviti atau pertandingan sukan," katanya.
Hannah turut menitipkan amanat buat warga KBS sempena tahun baharu ini.
"Buat warga KBS pula, saya mahukan urus tadbir yang bersih dan efektif,” katanya.