JEMPOL - Hilang penglihatan sejak tujuh tahun lalu akibat penyakit glaukoma retina tidak menghalang seorang sukarelawan menyumbang idea dan bergerak aktif seperti insan normal.
Fisal Johar, 58, mungkin tidak asing bagi masyarakat di daerah ini terutamanya dalam kalangan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu mualaf, orang kurang upaya (OKU), asnaf dan pelbagai anjuran program bersama.
Fisal ketika berkongsi mengenai kekurangannya mengakui reda dengan ujian berkenaan dan sentiasa bersikap positif walaupun hakikatnya kehidupannya telah berubah 100 peratus sejak disahkan menghidap penyakit itu pada 2015.
"Pada mulanya mata saya kabur sebelah kanan dan disahkan doktor akibat masalah saraf sebelum mata kiri pula tidak dapat melihat, namun tidak apalah itu takdir saya. Saya teruskan kehidupan dengan suasana baharu.
"Alhamdulillah keluarga banyak memberi sokongan dan membantu dalam pelbagai hal termasuklah memahami yang saya ini tidak boleh duduk diam, gemar aktiviti sukarelawan dan NGO," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Meranti, Bahau pada Sabtu.
Lebih malang lagi jelasnya, kaki kanannya pula terpaksa dipotong sekitar pertengahan tahun lalu selepas mengalami komplikasi saraf sekali gus mendorongnya memakai kaki palsu dan bertongkat.
Disebabkan keadaan itu, Fisal tidak mampu lagi bekerja dan sedikit sebanyak menjejaskan pendapatannya sebagai peniaga.
Sementara itu, menceritakan perancangan akan datang, Fisal yang merupakan pengasas Persatuan Insan Istimewa Jempol berkata, pihaknya bakal menganjurkan program pada Februari depan.
"Ia boleh dikatakan program tahunan iaitu program kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang akan melibatkan masyarakat setempat dalam usaha menyebarkan kesedaran terhadap OKU.
"OKU ini ada kelebihan masing-masing dan jika diasah, diberi sokongan, tidak mustahil boleh berjaya seterusnya memperoleh pendapatan sendiri. Tambahan pula ada ramai yang sudah berjaya dalam pelbagai bidang.
"Kita tidak mahu OKU ini jadi komuniti nombor tiga yang orang memandangnya dengan keadaan simpati tetapi sebenarnya kita mahu masyarakat memahami iaitu memahami keperluan, kekurangan, termasuklah mesra OKU," katanya yang juga penasihat Pondok Ar-Raudhah Jempol.
Mengulas lanjut katanya, beberapa program lain akan dilaksanakan sepanjang tahun seperti sebelum ini melibatkan OKU pelbagai kaum termasuk Cina, India dan Orang Asli serta komuniti setempat.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu dan menyumbang bagi meringankan beban boleh menghubungi Fisal di talian 017-8786052.