KUALA LUMPUR - Tidak pernah serik walaupun sudah berulang kali disaman seorang lelaki sanggup menunggang motosikal tanpa lesen semata-mata ingin menyambut ambang tahun baharu di ibu negara, di sini pada Sabtu.
Ketika ditemui, pemuda berusia sekitar 20-an yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kafe terbabit mengaku menjangkakan akan ada sekatan jalan raya (SJR) namun tetap meneruskan niat menyambut malam tahun baru walaupun tiada lesen memandu sah.
"Saya dari Kajang nak ke Dataran Merdeka untuk sambut tahun baharu. Lesen saya dah buat dan sepatutnya semalam dah siap, tetapi ada masalah lain pula.
"Malam ni saya kena saman dan motor kena sita sebab tak ada lesen, tukar ekzos, dan kesalahan nombor pendaftaran.
"Tahulah salah, tapi biasalah kita 'nok ko suasano' tahun baharu," katanya secara berseloroh kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi operasi, sini pada Sabtu.
Selain itu, tinjauan Sinar Harian mendapati ramai penunggang motosikal yang ditahan tanpa lesen memandu yang sah memberikan pelbagai alasan seperti tiada wang dan tak sempat buat lesen walaupun sudah bertahun-tahun menunggang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, sebanyak 26 SJR diadakan di lokasi-lokasi tumpuan di seluruh ibu negara sempena ambang tahun baru.
"Sebanyak 372 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 10 buah motosikal disita kerana mengubah suai struktur kenderaan.
"Pemeriksaan dijalankan ke atas 619 motosikal, kereta (171), van (19), jeep (32) melibatkan 848 individu turut diperiksa sepanjang operasi berkenaan," katanya.
Yahaya berkata, seramai 12 penunggang motosikal berumur lingkungan 15 hingga 21 tahun ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) kerana menunggang secara melulu dan melakukan aksi-aksi berbahaya.
Pada masa sama, seramai empat individu telah ditahan mengikut Seksyen 45 APJ 1987 kerana didapati memandu dan menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol.
"Matlamat utama operasi berkenaan adalah tugas penyuraian trafik di Bandaraya Kuala Lumpur bagi memastikan trafik lancar semasa sambutan tahun baru.
"Kerjasama diberikan orang ramai amat baik, mereka faham tugas polis terutama pada ambang tahun baru ini untuk kita menjaga keselamatan pengguna dan memastikan tiada pemandu mabuk," ujar beliau.