DEMIKIAN luahan wanita penghantar makanan yang kisahnya tular dan mengundang simpati orang ramai dek keazaman yang tinggi dalam meneruskan kehidupan meskipun kurang upaya.
Ketika ditemu bual Berita Harian Singapura, Sumaiyah Ghazali, 40, berkata, dia memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood kerana ingin mencari sumber pendapatan sendiri.
Dia yang menghidap cerebral palsy bekerja dalam bidang itu sejak empat bulan lalu.
Selain bergantung kepada kerusi rodanya, tugas Sumaiyah juga dipermudahkan dengan menggunakan telefon pintar yang menunjukkan arah ke destinasi pelanggan.
Bagi Sumaiyah, apa yang dilakukan ini juga adalah satu kepuasan.
"Saya suka dan minat dengan kerja ni. Ada juga kegunaan saya hantar makanan kepada orang, maknanya khidmat saya berguna kepada masyarakat.
"Bila saya kerja ni boleh juga belanja mak ayah makan. Kalau tak kerja dan biar adik-adik je kerja, rasa macam diri ni tak berguna. Saya tahu bukan senang nak jaga orang kurang upaya macam saya,” katanya.
Mengakui bukan dilahirkan dalam keluarga berpendapatan rendah, kakak sulung kepada tiga beradik yang semuanya dilahirkan normal itu nekad mahu berdikari dan tidak mahu terus membebankan keluarganya.
Difahamkan, Sumaiyah pernah bekerja di pejabat, namun jarinya yang lemah menyukarkan dia menjalankan tugas.
Berkongsi cabaran tugasnya sebagai penghantar makanan yang dipikul sejak empat bulan lalu adalah bagi memastikan makanan dihantar cepat sampai kepada pelanggan.
Katanya, adakala makanan tiba lewat dan menyebabkan pelanggan membuat aduan pada Grab.
"Ada juga saya mesej pelanggan minta maaf dan beritahu saya bukan sengaja lambat. Saya kurang upaya jadi sukar nak agak berapa lama untuk sampai. Kadang-kadang perlu tunggu lampu isyarat atau bas.
"Bila pelanggan lihat saya biasanya mereka faham mengapa saya lambat,” ujarnya.