JHEAINS kesan kesalahan pada perhiasan ayat al-Quran di Nilai 3

Iklan
Ahmad Zaki menunjukkan kesilapan pada ayat Kursi yang dijual di salah sbeuah premis yang diperiksa

NILAI -"Salah sikit je". Itu reaksi spontan seorang pekerja warga asing yang bekerja di sebuah premis menjual hiasan dinding ayat al-Quran di kawasan perindustrian Nilai 3 di sini apabila diberitahu terdapat kesilapan pada baris ayat Kursi yang dijualnya.

Kesalahan itu dikesan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menerusi operasi khas dilakukan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Sebelum itu lelaki dari negara Mesir yang berusia 35 tahun itu memberitahu hiasan ayat al-Quran berkenaan dibuat di negara ini namun terdiam apabila dipersoalkan oleh pegawai JHEAINS.

"Saya baharu kerja dua bulan lebih di sini. Saya pun tak pasti ada ayat al-Quran yang salah kerana kesemua barang-barang ini dibawa oleh majikan saya.

Iklan

"Saya tak tipu. Saya memang tak tahu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditanya lanjut berkenaan perkara berkenaan.

Sementara itu Ketua Pegawai Penguatkuasaan JHEAINS, Nik Azlan Bin Nik Man berkata, operasi terbabit dilakukan susulan daripada penemuan longgokan hiasan dinding ayat al-Quran di Kawasan Perindustrian Arab Malaysia di Nilai baru-baru ini.

Iklan

"Kejadian itu telah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat beragama Islam dan merupakan satu kesalahan serius.

"Jadi berdasarkan risikan, kita telah melakukan pemeriksaan di beberapa premis dan mendapati terdapat banyak hiasan ayat al-Quran tidak sempurna dijual yang jelasnya telah melanggar Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986,"katanya.

Jelas beliau, menjadi peranan para peniaga untuk ambil perhatian terhadap hiasan ayat al-Quran yang dijual di premis mereka dan bukannya sekadar mencari keuntungan semata-mata.

Pegawai JHEAINS menanda ayat al-Quran yang ada kesilapan

Katanya, meskipun hanya terdapat kesilapan kecil sama ada pada huruf atau baris ia akan memberi perubahan maksud ayat al-Quran terbabit.

"Jelasnya al-Quran ini tak boleh ada kesilapan langsung walaupun sedikit. Jadi peniaga perlu pastikan hiasan ayat al-Quran yang dijual telah mendapat pengesahan KDN.

"Mereka boleh dikenakan tindakan jika didapati menjual hiasan al-Quran yang tidak mendapat perakuan KDN dan masyarakat pun sebaiknya buat semakan terlebih dahulu sebelum membeli," katanya.

Sehubungan itu katanya, kesemua barangan yang didapati tidak tepat ayat al-Qurannya telah dirampas KDN untuk dijadikan sebagai bahan bukti kes.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Saiful Saadon pula, pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan telah beroperasi tanpa lesen.

"Kedai ini dah beroperasi empat bulan. Sebelum ini kita dah pun minta pemilik buat permohonan lesen dan telah pun beri amaran. Tapi nampaknya pemiliknya masih tidak mengendahkannya.

"Jadi apabila operasi dilaksanakan dan didapati pula premis ini dijaga oleh pekerja warga asing, kita terpaksa menyitanya dan diarah tutup sehingga pemiliknya memperoleh lesen kerana itu adalah prosedur operasi standard ditetapkan (SOP)," katanya.

Hadir sama, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah.