Pemeriksaan ketat imigresen punca beratur panjang

Iklan
Imigresen menjalankan pemeriksaan ketat di pintu masuk negara sebagai langkah mengekang sebarang salah laku warga asing yang datang ke Malaysia. Gambar kecil: Khairul Dzaimee

SHAH ALAM – Pemeriksaan ketat petugas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kepada warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 adalah prosedur tetap bagi memastikan setiap kemasukan adalah sah tanpa dicurigai.

Namun, perkara itu sering disalah erti oleh beberapa pihak hingga melemparkan tohmahan kepada imigresen.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pasport mesti disemak kerana terdapat kes ‘u-turn’ oleh warga asing yang kononnya datang sebagai pelancong.

"Ada kes ‘u-turn’ yang kita kesan di mana warga asing ini datang dan pulang ke negara asal mereka berulang kali.

"Kalau bercakap tentang pelancong tulen, katakan kita melancong ke Indonesia, tidak mungkin setiap tiga minggu sekali akan berulang ke sana kecuali atas urusan perniagaan serta kepentingan ekonomi,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata, ada beberapa kes dilaporkan melibatkan wanita dari Thailand, Vietnam serta Kemboja yang masuk ke Malaysia dipercayai untuk bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).

Menurutnya, sebab itu pemeriksaan ketat dilakukan hingga pengunjung asing perlu berbaris panjang terutama di waktu puncak pada jam 4 petang hingga 8 malam iaitu di masa ketibaan serentak pesawat.

Iklan

"Saya akan menerima pelbagai aduan negatif kerana barisan panjang mereka ini tetapi saya perlu jelaskan bahawa faktor keselamatan adalah lebih penting daripada kita terlepas, tersilap dan terkhilaf melepaskan masuk warga asing yang tidak sepatutnya.

"Apa yang akan berlaku sekiranya penjenayah antarabangsa terlepas masuk hanya semata-mata untuk melepaskan queue (barisan) dengan segera.

"Peraturan masuk perlu dipatuhi dan atas faktor keselamatan perkara ini dilaksanakan,” jelasnya.