PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta percaya pasukan itu sudah semakin matang selepas melakar kemenangan 4-2 ke atas Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan mereka selesa mendahului kedudukan liga dengan tujuh mata mengatasi pencabar terdekat Manchester City yang sekadar seri menentang Everton.
"Brighton merupakan sebuah pasukan yang kuat. Mereka memberikan tentangan yang sengit dan kami turut memberikan mereka kesukaran dalam perlawanan ini.
"Saya rasa kami sangat hebat terutama ketika kami mempunyai ruang untuk menyerang. Cara Brighton bertahan sedikit terbuka dan kami berjaya memanfaatkannya," katanya.
Dalam perlawanan itu, Bukayo Saka, Martin Odegaard, Eddie Nketiah dan Gabriel Martinelli masing-masing menjaringkan satu gol buat The Gunners manakala gol Brighton disumbangkan oleh Kaoru Mitomi dan Evan Ferguson.
Bagaimanapun, Arteta mengakui banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan kelab tersebut menamatkan kemarau memenangi kejuaraan EPL yang kali terakhir dimenangi pada 2004.
"Perjalanan masih panjang. Keterujaan saya mulai daripada masuk ke bilik persalinan apabila pemain bercakap tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan dengan lebih baik hari ini.
"Ini bermakna mereka tahu bahawa kami masih boleh bermain lebih baik dan lebih baik, dan menentang Newcastle United (perlawanan seterusnya) kami harus lebih baik," katanya.