Ten Hag dapat kawalan penuh

Iklan
Ten Hag mengucapkan tahniah kepada Rashford, pencetak gol ketika menewaskan Wolves.

ERIK ten Hag telah mengambil alih pasukan simpanan Manchester United dalam usaha untuk membuka laluan yang lebih baik kepada pasukan seniornya.

Pengendali dari Belanda itu memberitahu pengurusan tertinggi Old Trafford semasa rundingan musim bunga lalu bahawa dia hanya akan bersetuju untuk menjadi pengurus baharu sekiranya diberi kawalan penuh ke atas skuad Bawah 23 tahun kelab tersebut.

Iklan
Iklan

Ten Hag bekerjasama rapat dengan pengendali skuad Bawah 23 tahun Mark Dempsey dan jurulatih Paul McShane, namun bertanggungjawab terhadap keputusan muktamad dalam semua urusan pemilihan pasukan serta menentukan kedudukan pemain dan minit permainan di padang.

Untuk rekod, Ten Hag sebelum ini menjalankan dua peranan yang sama di Ajax kerana dia percaya itu cara terbaik untuk mendapatkan gambaran tepat mengenai bakat yang datang melalui sistem.

Iklan

"Bagi saya, kerjasama antara semua jabatan berbeza, namun adalah penting untuk mendapatkan budaya yang betul dalam sesebuah kelab. Seperti di Ajax, apabila saya memasuki Manchester United pasukan simpanan diasingkan.

"Ia bukan lagi sebahagian daripada akademi, tetapi ia juga bukan sebahagian pasukan utama. Saya menukarnya serta-merta sama seperti yang saya lakukan semasa saya memasuki Amsterdam.

Iklan

"Di Ajax, pasukan simpanan berada di bawah tanggungjawab pengurus. Itulah satu-satunya cara yang saya boleh mempengaruhi aliran pemain muda berbakat ke arah pasukan utama.

"Sudah tentu saya masih memberi kebebasan kepada jurulatih untuk bekerja, namun saya juga memberi mereka arahan contohnya, saya mahu pemain itu mula membuat minit dalam kedudukan itu," katanya.

Untuk rekod, antara faktor utama Ten Hag membuat keputusan untuk menjadi pengurus United adalah kerana bangga dengan tradisi kelab itu melahirkan para pemain muda.

Sementara itu, Marcus Rashford muncul wira United apabila jaringan tunggalnya membantu The Red Devils meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Wolverhampton.

Beraksi di Satdium Molineux, anak buah Ten Hag bagaimanapun bergelut untuk mendapatkan gol pada separuh masa pertama yang berkesudahan tanpa jaringan.

Rashford menceriakan kem pelawat apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-77 apabila berjaya menewaskan penjaga gol, Jose Sa.

Tiga mata itu menyaksikan United naik ke tangga keempat dengan mengumpul 32 mata selepas 16 perlawanan, manakala Wolves kekal dengan 13 mata di kedudukan ke-18.