KUANTAN - Tiga ibu berkongsi kegembiraan apabila melahirkan bayi masing-masing pada tarikh istimewa permulaan tahun baharu 2023 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Ahad.
Bagi Siti Solehah Mohamed Ariffin, 26, dari Jaya Gading di sini, ketibaan tahun baharu diraikan dengan kegembiraan berganda apabila bayi lelaki pertamanya lahir pada hari istimewa.
Suri rumah itu berkata, berdasarkan jangkaan awal, bayinya itu dijangka lahir ada 12 Januari ini.
"Memang tidak sangka, saya bersalin lebih awal pada pagi tahun baharu 2023.
"Gembira sangat, bayi lelaki yang ditunggu-tunggu lahir sebagai bayi tahun baharu jam 7.20 pagi tadi" katanya ketika ditemui di Wad Bersalin di HTAA di sini pada Ahad.
Siti Solehah berkata, dua lagi anaknya yang berusia lima dan setahun lebih adalah perempuan.
Perasaan sama turut dikongsi Ain Amira Rashid Wejdi, 32, dari Balok di sini apabila menimang cahaya mata perempuan keempat jam 4.45 pagi.
Menurutnya, bayinya lahir dua hari lebih awal dari tarikh jangkaan.
"Allhamdulillah, ditakdirkan dia lahir hari ini dan jadi bayi tahun baharu," katanya.
Bayinya seberat 3.4 kilogram yang dilahirkan secara normal berada dalam keadaan sihat.
Sementara itu bagi jururawat, Noor Hidayah Mohd Rodhi, 35, kelahiran bayi lelakinya pada tahun baharu melengkapkan pasangan anaknya dua perempuan dan dua lelaki.
Katanya, dia bersalin melangkaui tarikh jangkaan pada 25 Disember lalu.
"Mungkin rezeki tahun baharu dia lahir pada tarikh ini," katanya.
Bayi tahun baharu yang dilahirkan di HTAA diraikan pada Sesi Sambutan Bayi Tahun Baru 2023 Bersama Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, enam kelahiran bayi tahun baharu direkodkan di negeri ini sehingga jam 9 pagi pada Ahad.
Menurutnya, empat bayi terdiri tiga lelaki dan satu perempuan dilahirkan di HTAA manakala dua lagi bayi lelaki lahir di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
"Bayi pertama lahir jam 12.53 pagi di HTAA secara pembedahan manakala yang lain secara normal dengan berat antara tiga hingga 3.9 kilogram.
"Semua ibu dan bayi berada dalam keadaan baik," katanya.
Tambah beliau, jumlah kelahiran bayi tahun baharu di negeri ini dijangka meningkat memandangkan terdapat senarai ibu dalam proses bersalin.