19 laporan polis 'ejen' tipu pembelian RMMJ, PPR

Iklan
Mohd Jafni (tiga dari kiri) semasa merasmikan Program Jom Turun @ PPR Sri Stulang dan Sri Iskandar pada Ahad.

JOHOR BAHRU - Sebanyak 19 laporan polis melibatkan kerugian sebanyak RM122,000 berhubung penipuan pembelian Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) direkodkan sejak Julai 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kesemua kes yang dilaporkan adalah berkaitan dengan individu lelaki yang menyamar sebagai ejen perumahan dan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM5,000 terhadap mangsa.

Iklan
Iklan

"Kami menerima sebanyak empat aduan daripada mangsa yang mendakwa mereka ditawarkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di pejabat Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) oleh lelaki berkenaan.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan, nama individu yang disebut itu tidak ada dalam sistem kami.

Iklan

"Oleh itu, kita juga telah meminta Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat untuk melakukan siasatan lanjut dan hasilnya sebanyak 19 kes berjaya dikesan dengan kerugian melibatkan jumlah RM122,000," katanya ketika sidang media sempena Program Jom Turun @ PPR Sri Stulang dan Sri Iskandar di sini pada Ahad.

Mohd Jafni berkata, lelaki berusia 55 tahun itu juga telah dituduh di Mahkamah Johor Bahru bulan lalu.

Iklan

Bagaimanapun, lelaki berkenaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdayakan pemohon RMMJ dan rumah PPR.

Sementara itu, Mohd Jafni mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan rumah mampu milik di laman sosial yang mengelirukan dengan menawarkan rumah termasuk unit melebihi RM150,000.

Malah katanya, bahawa pihak PKPJ tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang tengah bagi permohonan RMMJ dan PPR di negeri ini.

"Kami ingatkan orang ramai terutamanya pembeli dan pemohon bahawa kita di peringkat kerajaan negeri tidak mengenakan apa-apa bayaran untuk permohonan rumah dan segala permohonan boleh dibuat terus ke laman sesawang e-perumahan.

"Selain itu, jangan mudah tertipu dengan helah ejen atau orang tengah yang kononnya mampu menawarkan rumah dengan kenakan bayaran deposit," katanya.