ALOR SETAR - Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) sepatutnya berbincang dengan ibu bapa terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman kadar tambang bas sekolah berkemungkinan naik mulai sesi persekolahan Januari ini.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, persatuan itu melihat pandangan wakil ibu bapa juga perlu diambil kira oleh PPBSM sebelum membuat sebarang pengumuman.
Iklan
Iklan
"Tetapi apabila mengumumkan seperti ini berkemungkinan pengusaha lain pun turut akan menaikkan harga mereka dan ini melanggarkan Akta Antipencatutan 2011 dan persaingan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Mohamad Yusrizal, PPBSM perlu memberikan penerangan sebab dan akibat kepada ibubapa jika persatuan itu terus kekal dengan kadar tambang bas sekolah.
"Mereka perlu berbincang dengan ibu bapa sekiranya perlu naik harga, (dan menjelaskan) inilah kos-kos yang perlu dan jika tidak naikkan boleh gulung tikar. Pengumuman oleh persatuan sebelum ini tidak adil," ujar beliau lagi.
Pada Khamis lalu, media melaporkan Presiden PPBSM, Amali Munif Rahmat berkata, tambang bas sekolah mungkin akan naik mulai Januari ini, disebabkan pelbagai kos yang meningkat.
Menurutnya, kenaikan itu dipengaruhi oleh kos ‘overhead’ telah meningkat membabitkan harga alat ganti yang lebih tinggi, kenaikan gaji pemandu, dan persaingan daripada pengendali tidak berlesen.