JOHOR BAHRU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diharap dapat mempertimbangkan permohonan pembinaan rumah mampu milik di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Larkin.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pihaknya berharap permohonan itu diluluskan memandangkan ia merupakan satu-satunya projek PPR yang dimohon di negeri ini untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)
"Kita mohon kerana ia disebut dalam RMK12, jadi harap dapat pertimbangkan bina PPR Larkin ini. Lagi pun, ia merupakan satu-satunya PPR yang kita mohon.
"Kita sudah uruskan dari segi teknikal, dokumentasi, tanah dan sebagainya cuma di peringkat KPKT luluskan sahaja,” katanya ketika ditemui semasa Program Jom Turun @ PPR Srit Stulang dan Sri Iskandar di sini pada Ahad.
Selain PPR Larkin, difahamkan sebanyak enam PPR masih dalam peringkat pembinaan di sekitar negeri ini melibatkan Pengerang, Ulu Tiram, Permas Jaya, Masai, Bandar Tenggara dan Sembrong.
Sementara itu Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri tidak mengambil sebarang keuntungan daripada hasil kutipan pembayaran sewa bulanan PPR dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) bagi 2022.
Katanya, sejumlah RM18 juta daripada pembayaran berkenaan digunakan bagi menampung kos-kos penyelenggaraan di kesemua 13 PPR dan RSK sedia ada ketika ini.
"Kerajaan negeri tidak mengambil sebarang keuntungan bagi kegunaan kos penyelenggaraan di kesemua PPR yang melibatkan kos sebanyak RM18 juta.
"Lagi pun, kita telah berikan pengecualian pembayaran sewa selama dua tahun mulai 2021 hingga 2022 berikutan pandemik Covid-19.
"Mulai bulan ini (Januari 2023), bayaran sewa perlu dijelaskan semula selewat-lewatnya pada tujuh hari setiap bulan," katanya.
Beliau berkata, bagi tahun ini (2023), pihaknya menyasarkan RM24.9 juta bagi kutipan pembayaran sewa bulanan.
"Jika tidak dapat membuat pembayaran berkenaan di kaunter bayaran Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), penyewa boleh membuat bayaran secara dalam talian menerusi Johorpay,” katanya.