SHAH ALAM - Perbadanan Aset Keretapi (RAC) mengumumkan pembukaan tiga Pejabat Urusan Wilayah iaitu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi Zon Utara; Pulau Sebang, Melaka bagi Zon Selatan dan Gua Musang, Kelantan bagi Zon Pantai Timur.
RAC dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, ketiga-tiga pejabat berkenaan akan mula beroperasi pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, pembukaan pejabat urusan wilayah itu bermatlamat meningkatkan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh RAC kepada pemegang taruh dan pelanggannya khususnya berkaitan dengan pengurusan aset kereta api melibatkan aktiviti komersial, pentadbiran tanah kereta api dan penyelenggaraan fasiliti.
"Ia juga selaras dengan perniagaan teras RAC yang bertanggungjawab untuk menjana pendapatan berterusan daripada aset-aset kereta api yang dimilikinya,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, langkah tersebut juga dilihat dapat mengimbangi keperluan pemegang taruh dan pelanggan RAC yang berada di seluruh Semenanjung Malaysia memandangkan kini peranan dan fungsi perbadanan itu semakin diketahui umum.
Kata kenyataan itu, pejabat urusan wilayah berkenaan akan diketuai oleh seorang pengurus wilayah dengan dibantu beberapa orang pegawai dan kakitangan.
"Dengan pembukaan pejabat ini, RAC berharap dapat menawarkan perkhidmatan pengurusan aset kereta api yang lebih baik sekali gus meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pemegang taruh dan pelanggannya.
"Ia adalah selaras dengan visi menjadi Peneraju Transformasi Pengurusan Aset Kereta Api Yang Mampan Menjelang 2030,” katanya.
Untuk makluman, operasi perbadanan itu terletak di Lembah Klang sepanjang 30 tahun penubuhannya.