SHAH ALAM - Unit Anjing Pengesan (K9) akan digerakkan pada Isnin bagi mengenal pasti punca kebakaran melibatkan Wisma Jakel Seksyen 7, di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, anjing pengesan ini akan digunakan bagi tugas-tugas forensik kebakaran.
"Bagaimanapun, segala punca kejadian ini masih perlu siasatan terperinci kerana ini satu kejadian besar melibatkan kemusnahan dan kerugian yang tinggi," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kebakaran Wisma Jakel di sini pada Ahad.
Katanya, kebakaran melibatkan keseluruhan Wisma Jakel dan api kemudiannya merebak ke bangunan berhampiran.
"Peringkat awal kita telah berjaya memadamkan di bangunan lima tingkat Wisma Jakel ini, kemudiannya api didapati merebak ke bangunan bersebelahan melibatkan tempat penyimpanan atau stor barangan jualan yang meliputi kain, baju dan bahan untuk menjahit termasuk permaidani dan pakaian untuk majlis perkahwinan.
"Usaha pemadaman yang dijalankan berterusan kemudian berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran ini," katanya.
Menurutnya, seramai 89 anggota bomba melibatkan enam balai bomba dari seluruh negeri ini digerakkan dalam operasi pemadaman.
"Anggota bomba terlibat turut berdepan kesukaran ketika operasi dijalankan terutamanya ketika memasuki bahagian tingkat tiga melibatkan stor penyimpanan kerana terdapat barangan yang begitu padat.
"Dengan keadaan asap tebal dan panas merisikokan anggota yang terlibat, kita kemudian mengatur strategi dengan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) untuk melakukan pemadaman," katanya.
Pada Ahad, Wisma Jakel yang menempatkan gedung jualan pakaian dan stor barangan terbakar dalam kejadian sekitar 7 pagi.