PONTIAN - Seorang warga emas yang dilaporkan hilang pada Sabtu ditemukan lemas dalam sungai yang terletak kira-kira dua kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Hulu Permas dekat sini pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat, mayat mangsa, Mohamad Burhan, 71, ditemukan terapung di dalam sungai berkenaan sekitar jam 2.47 petang Ahad.
Menurutnya, sebelum itu Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan mencari dan menyelamat orang hilang di Kampung Permas Hulu, Pontian melalui talian Mers999 pada jam 6.50 petang Sabtu.
"Sebuah jentera FRT, EMRS dan utiliti dari BBP Pontian dengan sembilan anggota dihantar ke tempat kejadian.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) membuat pencarian dalam radius 3km dari lokasi rumah mangsa di mana pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dibahagikan kepada empat pasukan.
"Mangsa kemudiannya dijumpai pada jam 2.47 petang di dalam sungai berhampiran pencawang,” katanya pada Ahad.
Mahadir berkata, mangsa diangkat menggunakan pengusung dan disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.