ALOR SETAR - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kedah diarah untuk memantau dan memastikan semua premis perjudian dan loteri di negeri ini mematuhi arahan penutupan sepenuhnya bermula 1 Januari 2023.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua lesen premis tersebut tidak lagi diperbaharui dan tamat tempoh pada 31 Disember 2022.
Iklan
Iklan
Menurutnya, perkara berkenaan selaras dengan keputusan yang diputuskan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 14 November 2021.
"Semua lesen mereka telah tamat tempoh pada 31 Disember dan kita tidak lagi perbaharui lesen judi," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.
Pada 14 November 2021, media melaporkan Kedah menerusi PBT tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri, berkuat kuasa serta-merta.
Muhammad Sanusi berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak mudarat yang lebih besar kepada penduduk.
Katanya lagi, mana-mana lesen premis yang telah tamat tempoh selepas ini tidak akan diperbaharui lagi untuk operasi perjudian.