Hannah kecam tindakan jurulatih tampar dua pemain

Iklan
Hannah (kanan) dan laporan Sinar Harian.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam tindakan individu yang didakwa sebagai jurulatih menampar dua pemain bola tampar perempuan dalam satu video yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Difahamkan kedua-dua pemain tersebut berumur bawah 14 tahun dan bertanding bagi Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 Malaysia 2022 di Johor.

Iklan
Iklan

Tindakan individu itu dipercayai berikutan dua pemain berkenaan menyebabkan pasukan kehilangan satu mata dalam perlawanan sebelum panggilan masa tamat.

Bagaimanapun, dua pemain tersebut dilihat kekal tabah dan ditenangkan oleh rakan sepasukan mereka selepas tindakan jurulatih terbabit.

Iklan

Hannah berkata, beliau telah menghubungi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan insiden berkenaan.

"Ini adalah salah. Telah bercakap dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan kami sama-sama sedang mendapat maklumat lanjut tentang kejadian ini,” katanya dalam ciapan di Twitternya pada Ahad.

Iklan

Pada Ahad, tular sebuah video menunjukkan seorang individu yang didakwa sebagai jurulatih bertindak menampar dua pemain bola tampar perempuan dalam satu perlawanan pada 16 Disember lalu.

Selain itu, Fadhlina turut dilihat menciap semula (retweet) ciapan Hannah berhubung perkara itu.

Perbuatan individu tersebut turut mendapat daripada pengguna Twitter yang rata-rata mengutuk tindakan sedemikian.

Salah seorang pengguna Twitter bernama @razak_zambri, berkata, walau apa jua alasan, seorang jurulatih tidak boleh menampar budak perempuan kerana enggan mendengar arahan.

"Budak-budak perempuan kot, kalau nak hukum tak dengar arahan ada banyak lagi caranya. Suruh la ketuk ketampi atau ‘push up’ (tekan tubi) ke,” katanya dalam ciapan di ruang komen Twitter pada Ahad.

Selain itu, seorang lagi pengguna Twitter bernama @smaran3 berkata, seorang jurulatih perlu bersikap profesional dan tahu batasan sebagai seorang pendidik.

"Jurulatih kena tau batasan sebagai seorang pendidik. Menang atau kalah adat permainan, sebelum jadi jurulatih kena ada sikap pemimpin.

"Motivasi adalah langkah yang tinggi untuk menaikkan semangat seseorang atlet,” tulisnya.