MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh disaran meneruskan usaha mewujudkan Akta Sukan Selamat di negara ini.
Malah bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, terlalu banyak insiden seumpama ini telah dan sedang berlaku. Jika tidak ditangani dengan serius, akan terus berlaku.
"Ianya boleh meninggalkan kesan negatif kepada anak2 ini. Semoga YB @hannahyeoh dapat meneruskan usaha mewujudkan Akta Sukan Selamat di Malaysia,” katanya dalam ciapan di Twitternya pada Ahad.
Sebelum ini tular video memaparkan tindakan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemainnya tular di laman media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022 pada 16 Disember lalu.
Dalam video yang disiarkan secara penstriman langsung di Facebook itu, seorang jurulatih pasukan dilihat menampar dua pemainnya yang menyebabkan pasukan kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan.
KBS sebelum ini sedang meneliti Akta Sukan Selamat, bagi mewujudkan satu persekitaran atau ekosistem selamat buat atlet di negara ini.
Hannah sebelum ini juga dipetik berkata, kod tersebut antara lain turut menumpukan perlindungan kepada atlet yang berdepan masalah gangguan seksual, buli dan keganasan.
Sementara itu, pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan tindakan jurulatih tersebut sebagai keterlaluan.
"Ia satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku terutama dalam kejohanan di peringkat sekolah.
"Menampar pemain depan pemain lain satu perkara yang memberikan kesan sangat negatif kepada pemain. Ini bukan budaya kita.
"Biar apa sekalipun kesalahan pemain itu, tidak sepatutnya ia ditampar di khalayak dan di tempat terbuka, apatah lagi mungkin ada orang lain atau keluarga pemain yang melihatnya.
"Hebat mana pun seorang jurulatih itu, negara kita pasti tidak membenarkan tindakan ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.