Pang Ron harap 2023 lebih warna-warni

Iklan
Hoo Pang Ron

PEMAIN beregu campuran negara, Hoo Pang Ron berharap agar 2023 menjadi tahun yang penuh warna-warni buatnya bersama gandingan baharu Teoh Mei Xing, yang menyasarkan kelayakan ke Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 24 tahun itu bagaimanapun mengakui tugas itu bukanlah mudah, selepas terpaksa menukar gandingan dua kali pada 2022, selain perlu menyesuaikan diri dengan rejim latihan baharu di bawah kendalian bekas pemenang pingat perak Olimpik, Nova Widianto.

Iklan
Iklan

Pang Ron berkata, antara cabaran utama mewujudkan gabungan terbaik dengan Mei Xing yang sebelum ini bermain dalam beregu wanita.

"Beliau sudah lama tidak beraksi dalam beregu campuran, jadi perlu lebih banyak masa untuk berlatih serta memperbaiki dan menambah kemahiran selain menyesuaikan diri dengan corak permainan beregu campuran bagi mengukuhkan gandingan ini. Bagaimanapun, keadaan semakin baik kerana kami telah mula meningkatkan sesi latihan.

Iklan

"Masih banyak yang perlu diperbaiki tetapi diharapkan kami dapat beraksi dalam Terbuka Malaysia bulan ini. Selepas kejohanan dalam negara, kami akan menganalisis perlawanan, cari kelemahan dan berusaha untuk memperbaikinya sebelum kejohanan seterusnya, dan proses itu berterusan,” katanya ketika ditemui.

Pang Ron memulakan aksi bersama Cheah Yee Seah untuk memenangi pingat perak Sukan SEA Hanoi pada Mei lalu sebelum menamatkan gandingan empat tahun mereka dan dipasangkan dengan Toh Ee Wei ketika saingan Masters Indonesia pada Jun.

Iklan

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kemudian membuat satu lagi rombakan apabila Pang Ron digandingkan pula bersama Mei Xing pada hujung 2022.

Pang Ron-Mei Xing yang kini menduduki ranking ke-159 dunia, memulakan aksi mereka dengan mara ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Bangladesh pada 7 hingga 11 Disember, sebelum memperoleh keyakinan diri apabila menjuarai gelaran Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak dari 13 hingga 18 Disember lalu.