SHAH ALAM - Kejadian kebakaran di premis Jakel cawangan Shah Alam di Seksyen 7, di sini, pada Ahad turut melibatkan kerosakan barangan jualan persiapan Ramadan dan hari raya pada tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, insiden kebakaran itu membabitkan bangunan lima dan tiga tingkat seluas 80,000 kaki persegi dan dianggarkan menelan kerugian berjumlah ratusan juta ringgit.
Katanya, punca sebenar kejadian setakat ini masih belum diketahui.
"Buat masa ini, para pelanggan diminta berkunjung ke Jakel Bangi, Jakel Bandar Tun Hussein Onn atau Jakel Mall Kuala Lumpur bagi mendapatkan barang keperluan seharian dan Hari Raya tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohamed Faroz berkata, meskipun premis itu tidak beroperasi seperti biasa, nasib lebih 500 kakitangan di gedung berkenaan tidak akan diabaikan.
"Jakel akan tetap membayar gaji semua kakitangan kami di sini, itu adalah komitmen saya kepada mereka,” ujarnya,
Pada masa sama, beliau turut melahirkan penghargaan terhadap bomba yang bertungkus-lumus memadam kebakaran dan polis yang turut mengawal keadaan keselamatan di kawasan sekitar premis berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan kebakaran berkenaan dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Menurut beliau, polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 7 pagi dan anggota polis bertugas menjalankan kawalan lalu lintas dan keselamatan di lokasi kejadian.