SEMALAM, mungkin ramai menerima sederet ucapan Tahun Baharu 2023. Tidak perlu bingung lagi mengingati tahun lalu kerana ia sudah pun menjadi sejarah. Paling penting kita kena melangkah ke depan dan memulakan babak baharu.
Sebagai rakyat Malaysia, sudah pastinya kita mengharapkan 2023 lebih baik dari sebelumnya.
Melihat kepada situasi, terdapat tiga cabang utama yang perlu diperbaharui iaitu dari segi kestabilan politik, isu kos sara hidup dan kesihatan.
Seperti yang semua orang maklum, sebelum ini kegoyahan politik negara sangat ketara. Pelbagai plot kita saksikan sehinggalah wujudnya Kerajaan Perpaduan.
Justeru, kita mendambakan sentuhan magis Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinannya untuk 'mengemaskinikan' semula Malaysia.
Jumaat lalu, Jadual Liga Ekonomi Dunia 2023 melaporkan, Malaysia diramal akan kembali mengatasi saiz ekonomi Singapura pada tahun 2027 selepas dipintas oleh republik itu pada tahun 2015.
Nama pun ramalan. Besar harapan rakyat agar reformasi dan perubahan yang lebih cepat dapat dilakukan demi kebaikan bersama.
Perlu ada pelan jangka panjang, sederhana dan pendek dalam menangani krisis kekurangan bekalan dan keperluan asas. Kerjasama bersama pemain industri tempatan juga wajar diperhebat agar negara tak terlalu bergantung kepada pembekal luar.
Kita pun tak sabar untuk mengetahui perincian strategi dan cadangan untuk program subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah dan penambahbaikan terhadap sektor swasta.
Dari segi kesihatan pula, peningkatan mendadak kes Covid-19 yang meledak di China amat menakutkan.
Situasi itu telah mendorong Kementerian Kesihatan menggesa semua individu yang layak untuk tampil mendapatkan vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan dan kematian. Itu adalah saranan yang perlu diambil serius.
Seboleh-bolehnya kita tidak mahu mengharungi kembali pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah menjejaskan banyak perkara.
Sehubungan itu, mekanisme lebih tegas perlu dilakukan bagi mengelak lonjakan kes. Jangan sudah terhantuk, baru terngadah. Beberapa buah negara di Eropah telah merangka prosedur tertentu bagi mengendalikan kemasukan pengembara dari China.
Apa-apapun, sama-samalah berdoa agar semua hal menjadi lebih baik pada tahun ini. Tutup lembaran kusam tahun lalu, kemas kini resolusi tahun 2023. Mari menyongsong tahun baharu dengan penuh harapan dan cita-cita.