Kes penipuan RMMJ: Polis siasat 16 kes pada Mei-Oktober 2022

Iklan
Kamarul Zaman
JOHOR BAHRU - Polis Johor sedang melakukan siasatan terhadap 16 kes penipuan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang dilaporkan dari Mei hingga Oktober tahun lalu melibatkan kerugian RM122,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepanjang tempoh tersebut 19 kes dilaporkan dan setakat ini tiga kes sudah dituduh di mahkamah di sini pada awal Disember lalu membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun.

"Namun lelaki berkenaan tidak mengaku bersalah dan kes berkenaan akan disebut semula pada 15 Januari ini. Semua mangsa sebelum ini hanya disedari ditipu selepas mereka tidak mendapat maklum balas berkenaan rumah yang dijanjikan.

"Mangsa juga mendapati nama mereka tidak tersenarai atau didaftarkan selepas melakukan semakan dengan pihak perumahan dan kerajaan tempatan.

"Susulan daripada siasatan yang dijalankan, pada Oktober 2022 pihak polis telah mengenal pasti lelaki berkenaan yang menjalankan aktiviti tawaran RMMJ sebelum berjaya dituduh di mahkamah bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor mendedahkan kes penipuan itu membabitkan empat mangsa yang membuat aduan di pejabat Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

Susulan itu, Mohd Jafni telah meminta Kamarul Zaman membuat siasatan segera kerana pihaknya masih menerima laporan kes berkenaan pada bulan lalu.

Kamarul Zaman berkata, siasatan mendapati suspek telah menggunakan satu ejen untuk berurusan dan membuat tawaran RMMJ kepada mangsa.

"Konsep itu menawarkan bayaran balik bulanan serendah RM1,000 sahaja bagi rumah-rumah yang berharga melebihi RM500,000," ujar beliau.

Jelasnya, mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut akan dikenakan bayaran deposit RM3,000 hingga RM10,000 bagi sebuah rumah untuk tujuan proses dan kelulusan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati semasa menjalankan urusan jual beli terutama menawarkan harga yang murah dan sukar dipercayai.

Orang ramai juga katanya, digesa untuk membuat semakan bagi mendapatkan pengesahan daripada agensi berkaitan berkenaan tawaran yang diterima sebelum mempercayai tawaran tersebut dan melakukan sebarang pembayaran.