SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan digesa menghapuskan lesen premis perjudian seperti yang dilaksanakan Kedah pada 1 Januari.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, tindakan itu adalah sejajar dengan prinsip agama dalam mendidik masyarakat supaya menjauhi perbuatan judi.
"Pelaksanaan dasar yang tegas terhadap judi wajar dilaksanakan tanpa syarat. Tidak wajar sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini.
"Ketengahkan dasar mendidik rakyat dalam neraca manusiawi yang betul berpandukan agama.
Ahmad menambah, tindakan kerajaan Kedah menghapuskan lesen premis perjudian di negeri itu disambut baik oleh DUPP.
Jelas beliau, ia menjadikan Kedah negeri ketiga selepas Kelantan dan Terengganu yang berbuat demikian di bawah pentadbiran Pas.
Ujarnya, penutupan ‘pintu kerosakan’ tersebut sekali gus dapat membuka lebih banyak keberkatan dan rezeki.
"Di sebalik pelbagai reaksi yang meragui kemampuan negeri meneruskan kelangsungan akibat penutupan premis judi ini, Kedah mendapat pelaburan tertinggi dalam sejarahnya sepanjang 2021, menghasilkan deretan projek mega berimpak tinggi selain berjaya menghasilkan ratusan ribu peluang pekerjaan di negeri itu.
"Diharapkan najis judi tidak lagi bertapak di bumi Jelapang Padi,” ulas Ahmad.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis perjudian dan loteri di negeri itu mematuhi arahan penutupan sepenuhnya.
Menurutnya, perkara berkenaan selaras dengan keputusan yang diputuskan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 14 November 2021.