SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes tersebut.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes Covid-19 di China serta sekatan telah dibuat oleh beberapa negara lain terhadap pengembara dari China.
Ujar beliau, perkara itu sememangnya merupakan keutamaan KKM ketika ini.
"Dengan pelanjutan Malaysia sebagai 'Kawasan Tempatan Jangkitan' sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan.
"Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.
"Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China malah individu yang tiba dari semua negara di dunia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Jumaat, semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) perlu melalui saringan demam.
Zaliha berkata, mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.
Sementara itu, Zaliha memaklumkan pihaknya juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"KKM sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China serta rakan-rakan negara ASEAN.
"KKM juga sentiasa mengambil polisi berpandukan dan berasaskan sains serta data yang tepat. Berdasarkan laporan, pihak WHO telah mengadakan mesyuarat dengan pihak China bagi urusan perkongsian data terkini dan ia akan diteruskan bagi mengetahui secara terperinci maklumat, situasi dan pengurusan Covid-19 di negara tersebut," jelasnya.
"Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin Covid-19 berkesan bagi memberi perlindungan dari mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus tersebut dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital," ujarnya.
Sementara itu, Zaliha berkata, tidak lama lagi vaksin bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini.
"Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya," katanya.
Justeru, beliau memaklumkan KKM menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.
"Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian," jelasnya.
Tambah Zaliha, KKM amat berharap agar peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat terutamanya melibatkan golongan berisiko.
"Ini memandangkan ketika ini hanya 49.8 peratus sahaja rakyat Malaysia yang telah mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus sahaja telah mengambil vaksin dos penggalak kedua," jelasnya.
Selain itu, Zalina turut mengingatkan rakyat untuk terus menjaga kesihatan kendiri dan keluarga masing-masing serta sentiasa mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan daripada KKM.
Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!