'Bunyi jam selamatkan nyawa saya'

Iklan
Muhamad Eruwan menunjukkan tempatnya tidur di ruang tamu rumah ketika kebakaran berlaku.

GOMBAK -"Nasib saya tersedar daripada tidur selepas terdengar bunyi (penggera) jam, jika tidak mungkin saya juga turut rentung dalam kebakaran yang meragut nyawa dua beradik itu.”

Demikian luah Muhamad Eruwan Kadis, 39, jiran kepada dua beradik yang maut dalam kebakaran di rumah teres di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanggut, di sini pada awal pagi Isnin.

Iklan
Iklan

Menceritakan detik mencemaskan itu, bapa dua anak itu berkata, dia tersedar daripada tidur tepat jam 3.30 pagi kerana bunyi penggera jam yang ketika itu tidur seorang diri di ruang tamu rumahnya.

Menurutnya, asap sudah memenuhi ruang rumah sebaik sahaja dia membuka mata dan kemudiannya bingkas bangun ke arah bilik namun melihat api merebak dari arah belakang.

Iklan

"Panik dengan situasi itu, saya terus masuk ke bilik pertama untuk mengambil barang-barang dan dokumen penting, mujurlah saya sempat membawa barang-barang itu keluar.

Dalam pada itu, Muhamad Eruwan berkata, disebabkan terlalu panik, dia mengakui tidak sempat untuk berbuat apa-apa selain menyelamatkan diri memandangkan api merebak begitu pantas.

Iklan

"Nasib baik anak dan isteri saya balik ke Jerantut, Pahang dua minggu lalu, jika mereka ada bersama, saya tidak dapat bayangkan bagaimana hendak menyelamatkan nyawa mereka dalam masa yang sangat singkat.

"Bagaimanapun, saya bersyukur berjaya menyelamatkan diri walaupun terpaksa tinggal sehelai sepinggang dan kehilangan tempat tinggal yang menjadi tempat kami berteduh selama ini,” ujarnya.

Keadaan luar rumah Muhamad Eruwan dan jirannya dalam kejadian kebakaran di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanggut awal pagi Isnin.

Pemandu lori itu berkata, dia turut bersimpati terhadap nasib jirannya yang kehilangan dua anak akibat kebakaran itu dan lebih memilukan dua mangsa terbabit adalah rakan sepermainan anaknya.

"Dua mangsa yang meninggal dunia itu adalah kawan-kawan anak saya dan mereka selalu bermain bersama,” katanya yang masih belum dapat menganggarkan jumlah kerugian yang ditanggungnya.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang maut adalah Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 9, dan adik lelakinya berusia tujuh tahun, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis dilaporkan berkata, ketika kejadian, pintu jeriji kediaman berkenaan berkunci dengan ibu bapa mangsa keluar rumah.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 3.54 pagi tadi.

Katanya, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela Gombak telah diarahkan ke lokasi kejadian.