[VIDEO] Nasib jurulatih bola tampar Melaka ditentukan Rabu ini

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. (Kanan: VP Shanmugam)

MELAKA - Status jurulatih skuad bola tampar wanita Melaka Bawah 14 Tahun (B14) sama ada digantung atau tidak akan ditentukan Rabu ini, kata Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam.

Menurutnya, meskipun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sudah ambil tindakan untuk gantung sementara tetapi jurulatih yang dilantik untuk membawa pasukan itu adalah di bawah kuasa Persatuan Bola Tampar Melaka.

Iklan
Iklan

"Kami akan berjumpa dengan semua pihak termasuk wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negeri (MSN), Persatuan Bola Tampar Melaka, jurulatih dan ibu bapa serta pemain Rabu ini.

"Pihak pengurusan skuad bola tampar pada kejohanan itu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dan hasil pertemuan dan perbincangan itu akan menentukan nasib jurulatih terbabit," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Iklan

Sebelum itu, MAVA dalam satu kenyataan pada Ahad, mengambil tindakan tegas apabila menggantung sementara jurulatih skuad bola tampar Melaka itu ekoran tular mengenai insiden beliau menampar pemainnya pada Kejohanan Bola Tampar Remaja Malaysia 2022 Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang berlangsung 14 hingga 16 Disember lepas.

Shanmugam berkata, pertemuan itu perlu diadakan bagi mendapatkan maklumat lanjut walaupun laporan penuh kejadian itu sudah pun dihantar kepada MSN pada Ahad dan KBS pada Selasa.

Iklan

"Rekod jurulatih itu juga perlu diambil kira kerana tiada aduan berkenaannya dilaporkan sebelum ini dan kami juga mengetahui jurulatih itu amat berdedikasi dan prihatin ke atas pemainnya," katanya.

Dalam pada itu, Shamugam berkata, insiden pada 14 Disember itu berlaku apabila jurulatih terbabit sedikit emosi apabila melihat prestasi pemainnya tidak mencapai tahap yang dimahukan pada hari pertandingan tersebut.

"Ini pertama kali Melaka masuk separuh akhir dan jurulatih sangat teruja dengan kemaraan pasukannya itu namun kalah tipis 2-3 kepada Johor.

"Selepas pertandingan tersebut, jurulatih itu telah menerangkan keadaan kepada pihak pengurusan teknikal, yang pada masa sama menegur beliau. Selepas kejadian, beliau berjumpa dengan kedua-dua pemain itu dan memohon maaf dan telah diselesaikan di tempat kejadian pada hari itu juga," katanya.

Jelasnya, jurulatih itu juga telah berjumpa dengan ibu bapa pemain tersebut dan memohon maaf atas insiden terbabit.

"Jadi di satu peringkat, perkara ini telah pun selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi," ujarnya. -Bernama