LBS terima pengiktirafan menerusi projek Rentak Perdana@LBS Alam Perdana

Iklan
Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Seri Barry Lim (kanan), menerima anugerah Pembangunan Bertanah Terbaik bagi Pasaran Massa pada Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
LBS Bina Group Berhad (LBS) diiktiraf sebagai pemaju Pembangunan Pasaran Massa Terbaik (Bertanah) menerusi projek Rentak Perdana@LBS Alam Perdana pada Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

LBS turut merangkul dua anugerah kepujian bagi kategori pembangunan perbandaran untuk LBS Alam Perdana dan kategori pembangunan kondo pertengahan (Lembah Klang) untuk Residensi Bintang Bukit Jalil.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, anugerah itu merupakan penghormatan buat LBS dan menandakan satu lagi kejayaan terutamanya dalam sektor rumah mampu milik.

"Sejajar dengan pelan perumahan mampu milik nasional, LBS akan terus membangunkan lebih banyak rumah yang mampu dimiliki," katanya dalam satu kenyataan.

LBS Alam Perdana, sebuah perbandaran yang diilhamkan oleh kehidupan kemasyarakatan di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor berjaya merangkul anugerah kepujian bagi kategori pembangunan perbandaran terbaik.

Hock San berkata, sejak perbandaran LBS Alam Perdana diperkenalkan pada November 2017, LBS telah melancarkan tiga fasa rumah berkualiti iaitu Irama Perdana, Simfoni Perdana dan Rentak Perdana.

"Fasa ketiga pembangunan LBS Alam Perdana, Rentak Perdana, turut dianugerahi sebagai Pembangunan Pasaran Massa Terbaik (Landed).

"Rentak Perdana yang terdiri daripada 856 unit rumah teres dua tingkat, menawarkan pembeli rumah susun atur yang selesa dengan memaparkan empat bilik tidur dan tiga bilik mandi, berharga daripada RM519,900.

"Selain itu, Residensi Bintang Bukit Jalil (RBBJ) menerima anugerah kepujian bagi kategori pembangunan kondominium pertengahan terbaik (Lembah Klang) untuk unit-unit modennya dengan tawaran kemudahan dan lokasi yang hebat," katanya.