LZS kesal asnaf tinggalkan rumah sewa kotor, tidak terurus

Iklan
Keadaan rumah yang ditinggalkan penyewa asnaf dalam keadaan kotor dan tidak terurus yang tular di Facebook, baru-baru ini.

TANJONG KARANG - Lembaga Zakat Selangor (LZS) kesal dengan tindakan seorang asnaf meninggalkan rumah sewa di sebuah kawasan di sini dalam keadaan kotor dan rosak.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, tindakan asnaf itu menganiaya pemilik rumah sewa yang menyebabkan asnaf lain sukar untuk menyewa pada masa depan.

Iklan
Iklan

"LZS terkesan dengan satu hantaran berhubung perkara itu di laman Facebook, baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Norajun berkata, LZS mengingatkan semua asnaf yang menerima bantuan untuk bersikap amanah dan bertanggungjawab menjaga rumah sewa diduduki.

Iklan

Beliau turut menyarankan pemilik rumah sewa terlibat supaya membuat aduan rasmi kepada LZS bagi menghentikan bantuan sewa rumah tersebut memandangkan penyewa tidak lagi menetap di situ.

Sebelum ini, tular di laman Facebook memaparkan beberapa gambar sebuah rumah yang disewa asnaf LZS ditinggalkan dalam keadaan kotor dan tidak terurus.

Iklan

Hantaran itu mengundang kecaman daripada ramai pihak berikutan tindakan tidak bertanggungjawab dilakukan penyewa.

Dalam pada itu, Norajun berkata, lebih 16,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor menerima bantuan sewa rumah daripada LZS.

Ujar beliau, bantuan berbentuk bulanan itu disalurkan terus ke akaun pemilik rumah sewa bagi menyantuni keperluan asas keluarga asnaf di negeri ini.