SRINAGAR - Seramai 10 orang terbunuh dalam tempoh enam hari insiden keganasan berhampiran sempadan dipertikaikan yang memisahkan India-Pakistan pada Ahad.
Semasa kejadian, dua lelaki bersenjata disyaki pemberontak anti-India melepaskan tembakan di rumah terletak di kampung terpencil di Dangri mengakibatkan empat penduduknya maut dan lima cedera.
Justeru, polis dan pasukan keselamatan melancarkan pemburuan di kawasan hampir dengan Garisan Kawalan (LC) yang membahagikan Kashmir, India dan Pakistan.
Pada Isnin, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dan seorang penduduk lain telah terbunuh dalam letupan berhampiran sebuah rumah.
Polis menambah, mereka menjumpai peranti letupan tidak berfungsi dan berjaya dineutralkan oleh skuad pemusnah bom.
Kematian tersebut berikutan pertempuran antara tentera kerajaan dan suspek pemberontak di pusat pemeriksaan di bandar Jammu pada Rabu lalu.
Dalam insiden itu, empat pemberontak terbunuh manakala pemandu trak mereka melarikan diri.
Hujung tahun lalu, sekurang-kurangnya 172 suspek pemberontak dan 26 anggota tentera terbunuh dalam pertempuran di sempadan yang dipertikaikan itu. - AFP