AMBANG tahun baharu ibarat masa yang sering dinantikan oleh samseng jalanan atau popular dipanggil ‘mat rempit’.
Anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama agensi sahabat lain yang bersengkang mata melaksanakan operasi di lokasi tertentu bagi mengekang aktiviti tidak sihat ini perlu diberi penghormatan.
Bermacam kerenah dan situasi dengan gambar penugasan operasi bersepadu pihak berkuasa pada ambang tahun baharu 2023 dilaporkan media.
Antara laporan berita yang boleh dipetik adalah kes di Alor Setar, Kedah di mana sebanyak 254 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi Op Samseng yang melibatkan kumpulan remaja menyambut tahun baharu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, sebanyak 22 buah motosikal juga disita atas pelbagai kesalahan seperti ubah suai, penunggang tiada lesen dan motosikal curi.
Menurut Ahmad Shukri, kumpulan remaja terbabit juga menyambut tahun baharu dengan membakar mercun dan bunga api di jalanan termasuk berlumba haram.
Sementara itu di Georgetown, polis Pulau Pinang mengeluarkan 475 saman bagi pelbagai kesalahan trafik dalam Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan di seluruh negeri itu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, operasi itu menumpukan pada pemeriksaan kenderaan dan mengambil tindakan tegas terhadap penunggang motosikal bagi membendung kegiatan samseng jalanan.
Sehubungan itu, ibu bapa wajib memantau tingkah laku anak-anak mereka. Sikap ambil mudah dengan memberi ‘lesen’ biar pun baru setahun jagung adalah tidak sesuai.
Sikap tidak bertanggungjawab dengan membenarkan anak-anak menunggang motosikal dalam usia masih terlalu muda dibimbangi akan menimbulkan rasa ghairah untuk meniru aksi menunggang yang berbahaya.
Adalah amat tepat tindakan pihak berwajib yang melaksanakan operasi menerusi rondaan, sekatan jalan raya, snap check dan lain-lain dalam usaha membendung aktiviti samseng jalanan.
Kita tidak mahu perbuatan biadab dengan bunyi bising, menjerit dan menunggang semberono terus mengakibatkan suasana tidak tenteram kepada masyarakat di negara ini.