KUALA LUMPUR - Perhimpunan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di sini mengambil kesempatan bertafakur bagi memperingati mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di Batang Kali, Selangor.
Majlis perhimpunan bermula dengan ucapan guru besar baharu, Cheong Kam Yin yang berucap buat kali pertama pada perhimpunan mingguan sempena minggu pertama tahun baharu di sekolah berkenaan.
Beliau kemudiannya mengumumkan guru baharu bagi menggantikan enam guru yang meninggal dalam kejadian tanah runtuh 16 Disember lalu selain memberi semangat kepada murid tahun empat, lima dan enam yang bakal menghadapi peperiksaan.
Dalam masa sama, ibu bapa murid-murid turut berada di luar pagar sekolah bagi mengikuti majlis perhimpunan berkenaan yang berakhir sekitar jam 8 pagi.
Salah seorang penjaga, Alice, 40, berkata, dia masih bersedih dengan kejadian menimpa guru dan murid dan berharap anaknya dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa selepas ini kerana turut terkesan dengan kejadian tersebut.
Sementara itu, seorang peniaga hanya ingin dikenali sebagai Wong, 50-an berkata, dia berharap anaknya tidak terkesan dengan kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan pelajarannya di sekolah terganggu.
"Saya simpati terhadap ahli keluarga mangsa dan sebagai ibu bapa kami berharap anak-anak dapat meneruskan hidup dan belajar seperti biasa walaupun mereka kehilangan rakan dan guru mereka," katanya.
Enam guru yang meninggal dalam kejadian pada 16 Disember itu adalah Fong Choy Kee, 43; Lai Lee Koon, 44; Lim Wen Xin, 36; Hong Mei Jing, 38; Lam Sook Man, 37 dan Liu Pei Si, 44.
Murid yang terkorban adalah adik-beradik Eng Huai Yi, 12, dan Eng Shao Qi, 11, serta Tong Kai En, sembilan tahun, manakala pengusaha kantin yang terkorban adalah Gary Eng Choon Wen, 43, dan pekerjanya, Nurul Azwani Kamaruzaman, 31.