Isu perkauman merupakan suatu perkara yang perlu dipandang serius dan diambil berat oleh setiap pihak. Isu tersebut bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan di Amerika, Eropah dan Afrika juga turut berlaku isu yang sama. Perkara ini bukanlah suatu yang baharu kerana pada zaman Nabi Muhammad SAW telah wujud isu tersebut. Sebagai contoh semangat assabiyah yang berlaku antara kaum.
Isu perkauman boleh berlaku dalam beberapa situasi seperti percakapan, tindakan provokasi, perbezaan keturunan, penghinaan, ejekan dan diskriminasi terhadap perbezaan warna kulit.
Perkara ini bukan suatu yang boleh dipandang remeh kerana perkara ini sangat menyentuh sensitiviti sesuatu kaum. Setiap kaum mempunyai maruah dan identiti yang perlu dipelihara daripada dipermainkan oleh sesuatu pihak.
Perkara ini juga boleh menimbulkan api persengketaan antara kaum lantas membawa kepada konflik perpecahan dan pergaduhan. Setiap manusia perlu berfikiran terbuka dalam menilai seseorang bukan berdasarkan warna kulit ataupun keturunan, akan tetapi berlandaskan nilai keperibadian yang tersemat dalam diri seseorang.
Hakikatnya yang akan membezakan manusia adalah amalan yang dilakukan individu tersebut. Justeru itu, maka wujudlah syurga dan neraka yang telah diciptakan oleh Allah s.w.t untuk meletakkan manusia berdasarkan amalan mereka.
Sifat diskriminasi yang berlaku pada hari ini kebanyakannya berlaku dalam kalangan kelompok-kelompok tertentu disebabkan kurang pengetahuan atau mungkin tidak sedar bahawa manusia berasal dari susur galur keturunan yang sama iaitu Nabi Adam AS.
Oleh itu, tidak sepatutnya wujudnya perasaan bangga terhadap keturunan sehingga memandang rendah terhadap kaum lain. Rentetan daripada itu, Jika dilihat secara umum banyak konflik perkauman yang berlaku di dunia masih lagi berterusan dan tidak memperlihatkan tanda-tanda akan berakhir.
Isu Rohingya di Myanmar
Sebagaimana yang telah diketahui umum, bahawa di Myanmar telah berlaku konflik di antara etnik Rohingya dan etnik lain yang beragama Budha. Majoriti etnik Rohingya beragama Islam Sunni dan mereka tinggal di wilayah Banggal. Kerajaan Myanmar menganggap golongan Rohingya adalah pendatang asing dan bukan warganegara.
Kerajaan Myanmar juga menetapkan undang-undang yang menetapkan kadar kelahiran. Etnik Rohingya hanya dibenarkan melahirkan atau memiliki dua orang anak sahaja. Peraturan yang agak mencengkam ini diwujudkan dengan tujuan untuk mengawal populasi etnik Rohingya.
Secara realitinya walaupun mereka dilahirkan di Myanmar akan tetapi kewujudan mereka seolah-olah dinafikan dan ditolak mungkin atas faktor agama. Pergerakan etnik Rohingya amat terbatas dan sering dikawal lantas menyukarkan mereka untuk menjalani kehidupan seharian.
Diskriminasi yang dilakukan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya menyebabkan wujudnya api kebencian etnik lain terhadap etnik Rohingya. Pada tahun 2012, telah berlaku konflik etnik di antara etnik Rakhine dan Rohingya yang menyebabkan seramai 75,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Kesannya seramai 200,000 orang telah menjadi pelarian disebabkan berasa terancam dengan serangan yang berlaku. Mereka terpaksa melarikan diri ke Bangladesh dan negara-negara lain. Malaysia juga tidak terlepas daripada menjadi tempat tumpuan etnik ini untuk mengadu nasib.
Penulis berpandangan bahawa isu Rohingya ini mungkin disebabkan perbezaan agama yang dianuti. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Myanmar bukanlah sebuah negara Islam dan mungkin menjadi asbab etnik Rohingya yang berpegang kepada Islam dianaktirikan oleh Kerajaan Myanmar.
Kematian George Floyd di Amerika Syarikat
Peristiwa ini bermula apabila berlakunya kes kematian terhadap George Floyd, seorang warganegara Amerika Syarikat berketurunan Afrika-Amerika ketika dalam tahanan pihak polis di Minneapolis.
Peristiwa tersebut telah menimbulkan rusuhan berikutan rasa tidak puas hati dalam kalangan warganegara Amerika yang berketurunan Amerika-Afrika disebabkan layanan buruk yang diberikan terhadap George Floyd ketika dalam tahanan pihak polis.
Tindakan tersebut berpunca apabila mereka merasakan tidak mendapat layanan yang adil seperti warganegara Amerika yang lain, sedangkan mereka mempunyai status kewarganegaraan yang sah.
Perkara ini dilihat oleh mereka sebagai suatu diskriminasi terhadap perbezaan warna kulit yang dilakukan oleh pihak polis. Pada pandangan mereka polis sewajarnya lebih berintegriti dalam menjalankan tugas tanpa bersikap rasis terhadap pesalah yang berlainan warna kulit.
Amalan diskriminasi perlu dibuang jauh dari dalam diri setiap manusia. Khususnya dalam menjalankan tanggungjawab mestilah mempunyai sifat keadilan dan bertoleransi tanpa melihat kepada perbezaan kaum, warna kulit dan sebagainya.
Nilai keamanan dan kedamaian dapat dibentuk sekiranya tiada amalan diskriminasi. Diskriminasi bukan sahaja berlaku di negara seperti Amerika bahkan mungkin hampir di setiap negara yang mempunyai berbilang kaum.
Negara Malaysia juga mungkin tidak boleh lari daripada menghadapi isu ini. Masalah diskriminasi ini perlu segera dibendung supaya tidak membawa kemudaratan pada masa akan datang. Sekiranya tidak diatasi, mungkin boleh menyebabkan bermulanya bibit perpecahan sehingga membawa kepada rusuhan sepertimana yang berlaku di Amerika
Konsep taaruf membawa penyatuan kaum
Keamanan dan kesejahteraan pasti dapat dicapai sekiranya semua kaum di seluruh dunia bersatu hati dan saling menghormati. Islam telah mengajar umatnya supaya saling berkenal-kenalan sepertimana yang tertulis dalam surah al-Hujrat ayat 13, yang bermaksud:
‘Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)’.
Dalam ayat ini menjelaskan bahawa tujuan manusia dijadikan berbilang kaum adalah untuk mereka saling bertaaruf iaitu berkenal-kenalan antara satu sama lain. Dengan berkenalan dengan kaum lain pasti dapat memberi kefahaman tentang budaya dan cara hidup sesuatu kaum.
Sebagai contoh, kita boleh lihat perpaduan kaum yang berlaku dalam pasukan bola sepak di Eropah. Kebanyakan para pemain terdiri daripada berbilang bangsa dan agama. Namun begitu mereka dapat hidup dalam satu pasukan dan saling bekerjasama sehingga meraih kejayaan dalam sesuatu pertandingan di peringkat antarabangsa.
Ini kerana mereka sudah saling berkenal-kenalan antara satu sama lain. Pepatah ada menyebut ‘tak kenal maka tak cinta’. Perkara ini jelas membuktikan bahawa penghayatan konsep taaruf hendaklah diterapkan dalam diri setiap manusia supaya dapat mengelakkan berlakunya kekeliruan dan salah tanggapan tentang sesuatu kaum.
Justeru, dapat mewujudkan suasana yang damai dan harmoni ketika menjalani kehidupan dalam suasana masyarakat berbilang kaum.
PROF DR ROSLAN MOHD NOR & MUHAMMAD RIDHUAN BIN YUSNAN
Pensyarah & Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Universiti Malaya (UM)