1,300 anggota APM sedia dikerah hadapi MTL

Iklan
Mohd Adzhar (kiri) bersama Abdul Kadir Jailani (tiga dari kiri) dan Ezlynn (belakang) pada Majlis Pengagihan Sumbangan Mangsa Banjir di Masjid Warisan Penghulu Kampung Lubok Gong, di Rantau Panjang, pada Selasa.

RANTAU PANJANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan sedia mengerahkan 1,300 anggotanya untuk menghadapi baki Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir pada Mac ini.

Pengarahnya, Kolonel Mohd Adzhar Mujab berkata, pihaknya sedang memperkemaskan semula persediaan dari segi kekuatan anggota serta kemudahan logistik.

Iklan
Iklan

"Berpandukan kepada situasi semasa cuaca pada hari ini (Selasa) mendung dan hujan, ia boleh memberikan risiko kepada kawasan rendah," katanya semasa sidang akhbar pada Majlis Pengagihan Sumbangan Mangsa Banjir di Masjid Warisan Penghulu Kampung Lubok Gong, di sini pada Selasa.

Sumbangan bernilai RM200,000 berupa meja kopi, bantal, tilam dan rak tingkat itu disumbangkan oleh Perniagaan Hikmat Iktisas, Pertubuhan Memperkasa Ummah Malaysia dan BeDaie.

Iklan

Hadir sama Pengasas Perniagaan Hikmat Iktisas, Abdul Kadir Jailani Baharudin dan duta Bidaie, penyanyi Ezlynn.

Menurut Mohd Adzhar, setiap jajahan di negeri ini mempunyai anggota APM yang secukupnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Iklan

Ujar beliau, sebagai barisan hadapan pihaknya sentiasa peka, prihatin dan tangkas dalam memastikan keselamatan orang awam terjamin.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, dalam situasi pasca banjir ini pihaknya sedang sibuk mengumpulkan serta mengaturkan agihan sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) kepada penduduk yang terjejas.

"Alhamdulillah ramai NGO yang menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan kepada mangsa banjir dan agihannya dilakukan secara rata.

"Sepertimana hari ini, kami berterima kasih kepada Perniagaan Hikmat Iktisas, Pertubuhan Memperkasa Ummah Malaysia dan BeDaie kerana sudi membantu meringankan beban mangsa banjir di Rantau Panjang," katanya.