KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan mengadakan mesyuarat bagi membuat keputusan atau menentukan prosedur operasi standard (SOP) bagi menerima kehadiran pelancong dari China.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setakat ini kerajaan negeri belum dapat memberi ulasan selanjutnya sebelum mesyuarat itu diadakan.
"Jadi seleps kita mengadakan mesyuarat esok, baru kita boleh komen seterusnya," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi rumah penduduk yang terjejas akibat dipukul ombak di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan Sabah sama ada akan menerima pelancong dari China pada tahun ini.
Sebelum itu, menurut jangkaan tahun ini, seramai 1.2 juta pelancong China akan datang ke Malaysia dan negara diramal menjana pendapatan sebanyak RM3.6 billion menerusi kehadiran tersebut.
Ia berikutan pengumuman pihak berkuasa China yang membenarkan rakyatnya untuk melancong ke luar negara tanpa perlu memberikan butiran perjalanan.
Sabah antara negeri yang menjadi tumpuan dan pilihan pelawat dari China sebagai destinasi percutian dan negeri ini mencatat kemasukan pelancong yang tinggi sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.
Bagaimanapun, isu kemasukan pelancong dari China ke Malaysia mendapat reaksi daripada pelbagai pihak dengan mengambil kira risiko penularan semula Covid-19 termasuk varian baharu yang dikenal pasti baru-baru ini.
Pada tahun 2020, Malaysia antara negara yang terjejas teruk berikutan penularan wabak Covid-19 dan sekatan kemasukan pelancong dikuatkuasakan bagi mengelak penularan yang lebih serius berlaku.