SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memanggil saksi atau individu yang merakam video kejadian kes kebakaran di Wisma Jakel, di sini pada Selasa bagi membantu siasatan.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya melihat kejadian kali kedua pada awal pagi itu dari pelbagai sudut sama ada berkait jenayah atau sebagainya.
Menurutnya, pihaknya telah menggerakkan 43 pegawai dan anggota selain khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bomba.
"Operasi akan berterusan sehingga semua punca api dipadam sepenuhnya. Kita telah menghantar pasukan masuk ke dalam untuk memunggah dan mengalihkan tekstil yang ada bagi memastikan tiada bara api," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.
Tambah Norazam, pihaknya akan memanggil saksi-saksi selain menganalisa video yang ditularkan dengan kerjasama pihak polis.
Katanya, ini bagi mendapatkan maklumat berdasarkan video yang dipamerkan di media sosial.
"Semua kita akan analisa dari mana api (kebakaran) bermula.
"Kita akan kajian secara mendalam. Tiada lagi kesimpulan mengenai kebakaran kedua ini. Kita akan siasat dalam tempoh 14 hari dan sampel kebakaran perlu dianalisa.
"Kita perlu buktikan dengan fakta dan hasil analisa. Kita akan kaji secara mendalam. Tiada lagi kesimpulan mengenai punca kebakaran kali kedua ini," ujarnya.
Dalam kejadian pertama pada jam 7.08 pagi Ahad, kebakaran bangunan tiga tingkat di Wisma Jakel itu mengakibatkan syarikat tekstil itu mengalami kerugian dianggarkan hampir RM100 juta.
Susulan itu, pada jam 12.40 tengah malam Selasa, kejadian kedua berlaku membabitkan bilik simpanan kain langsir di wisma terbabit.