Tambah baik SOP perlumbaan di litar, elak kejadian berulang

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kiri: Mustafar)

IPOH - Persatuan Pengguna Pengangkutan Jalan Perak menggesa sebarang penganjuran perlumbaan mahupun latihan di Litar Dato' Sagor, Pasir Salak atau mana-mana lokasi di negeri ini perlu melibatkan badan berkelayakan untuk membuat pemantauan.

Pengerusinya, Mustafar Rahadi berkata, insiden yang berlaku pada 31 Disember lalu di Litar Dato' Sagor, Pasir Salak harus menjadi iktibar kepada semua pihak agar kejadian yang meragut nyawa tidak berulang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, aktiviti sukan permotoran seperti itu perlu diteruskan kerana ia mempunyai peminat tersendiri tetapi mesti dianjurkan dengan melihat secara terperinci prosedur operasi standard (SOP) terutama dalam aspek keselamatan.

"Saya lihat penganjuran aktiviti perlumbaan kereta mahupun motosikal ini tidak ada salahnya kerana negeri Perak sendiri pernah melahirkan jaguh pelumba di peringkat antarabangsa.

Iklan

"Cuma kita perlu penambahbaikan SOP sesuatu penganjuran perlumbaan mengikut kesesuaian litar. Ini hanya dapat ditentukan oleh badan-badan yang mempunyai tauliah atau kepakaran," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, sekatan penganjuran aktiiviti sedemikian bukanlah penyelesaian terhadap isu berkenaan kerana dibimbangi akan berlaku kes-kes lumba haram yang lebih membahayakan.

Iklan

Mustafar berkata, jenis dan kategori kenderaan perlu disesuaikan dengan litar supaya aspek keselamatan dan kawalan dapat dipertingkatkan sama ada melibatkan pelumba mahupun penonton.

Jelasnya, Perak mempunyai ramai pelumba berbakat dan seharusnya usaha mencungkil kemampuan mereka ini diteruskan supaya sukan pemotoran tidak ketandusan atlet.

Sementara itu, Mustafar turut meminta kerajaan negeri melihat secara teliti bagaimana Litar Dato' Sagor itu boleh dinaik taraf dan dijadikan pusat tumpuan aktiviti permotoran di dalam negeri dan luar negara.

Pada 31 Disember lalu, seorang pengusaha bengkel maut dirempuh kereta jenis Proton Satria ketika menyaksikan acara permotoran di Litar Dato Sagor, Pasir Salak.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 32 tahun berada di tepi litar untuk menyaksikan pertandingan melibatkan 12 kenderaan bagi kategori 1800cc.

Siasatan pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila dua kenderaan gagal mengawal kenderaan ketika bergesel semasa menghampiri garisan penamat.