KISAH mengenai seseorang paderi atau biarawati mendapat petunjuk dan hidayah bukanlah sesuatu yang janggal. Sebagai contoh lihat sahaja kepada Joseph Edward Estes (Yusuf Estes) atau Jamilah Kolocotronis.
Jamilah asalnya bercita-cita menjadi seorang pendeta Kristian. Siri mendekati masjid akhirnya menjadikan beliau sebagai pengetua Salam School di Milwaukee.
Beberapa hari lepas penulis terbaca mengenai Lim Ah Moi, 62, seorang biarawati di Gereja St Thomas di Kuantan. Pengalaman pertama seumur hidupnya berpeluang masuk ke masjid sempena Hari Terbuka Masjid Sultan Ahmad 1 Kuantan menyentuh hatinya. Program dianjurkan oleh Hidayah Centre Foundation.
Dalam temu ramah, beliau menyatakan amat bertuah mendapat kesempatan seperti itu. Dapat mengenali Islam dengan lebih dekat. Ini dapat menghilangkan prasangka negatif dan melunakkan hatinya terhadap Islam."Saya berpeluang mendengar bacaan al-Quran dan menghayati terjemahannya."
Syabas kepada pihak penganjur yang turut menjemput beberapa lagi NGO bukan Islam dan individu pelbagai kaum. Sesungguhnya program ini mampu membina jambatan persefahaman di antara kaum, mengelakkan salah faham masyarakat bukan Islam terhadap ajaran Islam yang sebenar.
Kisah ini membuat penulis teringat kepada insan bernama Arnould Van Doorn. Beliau ialah seorang tokoh politik di Belanda yang sangat membenci dan memusuhi Islam (Islamophobic).
Islam agama jahat baginya. Semuanya adalah pengaruh daripada media barat dan ahli-ahli politik di negara itu. Beliau juga adalah penyokong kuat kepada Geert Wilders, ketua pertubuhan anti Islam.
Ingatkah kepada filem Fitna? Mereka berdualah antara penyumbang besar menghasilkan filem yang memberikan gambaran buruk terhadap Islam.
Kini segalanya berubah, bagaikan pusingan 360 darjah. Beliau dituduh gila oleh kawan-kawannya."Islam tempat saya, bahagia, saya bahagia dengan cara ini," katanya setelah menganuti Islam.
Puncanya terdapat persamaan, iaitu hatinya terbuka setelah mengenali dan mendekati masjid. Walaupun pada awalnya Van Doorn sering berhelah dan menolak untuk bertandang ke"tempat jahat" (masjid).
Atas daya usaha seorang kawan Muslim, satu janji temu dengan imam masjid The Hague telah diaturkan. Van Doorn pada mulanya memasang niat untuk menunaikan pelawaan itu tidak lebih lima minit. Kemudian sedikit mengalah untuk 10 minit.
Kunjungan pertama itu akhirnya menelan masa selama dua jam apabila beliau terpukau dan berasa selesa di situ. Beliau tertarik dengan sikap ramah dan mesra jemaah yang dapat menerima kehadirannya dengan jujur dan ikhlas.
Beliau sendiri berasa pelik akan sikap dirinya yang sebelum ini amat membenci dan mencurigai Islam.
Sebenarnya jalan menuju hidayah itu bukan sesuatu yang segera dan singkat. Hatinya berbolak-balik selama kira-kira dua tahun. Ketentuan ALLAH, Van Doorn akhirnya mengucapkan syahadah pada April 2012.
Kini baginya Islam adalah agama yang benar, cantik dan terbaik untuk manusia. Beliau menyedari kebanyakan masyarakat Barat, Wilders, media dan ahli-ahli politik di negaranya telah memberikan gambaran yang salah tentang Islam.
Natijah kepada kita adalah walaupun kita bukan seorang pendakwah, majoriti kita terbuka kepada interaksi kepada manusia lebih-lebih lagi sebagai pengguna media sosial atau penghuni alam maya.
Pada zaman teknologi dunia tanpa sempadan ini kita berbicara, berbahasa tanpa kata-kata, tanpa keluar suara. Maka binalah hubungan baik dengan masyarakat nyata ataupun maya.
Pendekatan kita hendaklah secara berhemah bukan mencerca, membenci, memfitnah kadangkala beremosi menyeranah.
Jadikanlah medium yang saban hari kita sertai sebagai platform atau wadah memupuk budaya kasih-sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain.
Ajak manusia kepada kasih sayang, keharmonian dan keamanan. Lempar jauh-jauh permusuhan, nyah kebencian. Kepada pemimpin masyarakat, jadikanlah pendekatan kepada Lim Ah Moi dan Arnould Van Doorn sebagai teladan.
Insya-ALLAH apabila kenal maka cinta.
* Mohd Arshad Musa ialah Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care. Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sumber manusia