KEKASARAN fizikal atau pembulian disifatkan sebagai tindakan keterlaluan yang mampu memberikan kesan negatif berpanjangan terhadap mangsa.
Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnul Haniff Harun menegaskan, insiden jurulatih yang menampar pelajar baru-baru ini bukanlah budaya rakyat negara ini dan telah menjatuhkan kredibiliti jurulatih profesional Malaysia.
"Kejadian yang berlaku benar-benar mencemar kod etika jurulatih yang seharusnya lebih bertanggungjawab bukan sahaja terhadap pelajar, malah terhadap ibu bapa atau penjaga yang telah meletakkan amanah untuk memberi bimbingan kepada anak mereka.
"MBM konsisten dengan ketegasan membela keadilan sosial masyarakat dengan menentang semua jenis kekerasan serta gangguan terhadap semua golongan khususnya melibatkan beliawanis yang merupakan nadi masa hadapan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujar beliau, jurulatih sukan sewajarnya melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan terkini yang relevan bagi menghadapi cabaran melatih serta membimbing atlet, sekali gus menjadi ruang selamat dan terbaik dalam membangun bakat yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
Dalam isu ini katanya, seluruh barisan pengurusan pasukan terutamanya jurulatih tersebut harus sedar bahawa ‘matlamat tidak boleh menghalalkan cara’.
"Syabas dan terima kasih juga harus diberikan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang pantas dengan mengutuk tindakan jurulatih tersebut dan arahan untuk mengadakan siasatan mendalam telah dikeluarkan, selain inisiatif mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa pelajar.
"MBM berharap keadilan sewajarnya dapat diperoleh dan semoga insiden ini dapat menjadi iktibar kepada setiap lapisan masyarakat untuk lebih cakna terhadap pematuhan garis panduan pelaksanaan tanggungjawab dalam apa jua bidang, terutamanya yang melibatkan hak asasi kumpulan rentan,” ujar beliau.
Hasnul menambah, mangsa tidak perlu takut untuk tampil ke hadapan membuat laporan kepada pihak berkuasa agar perkara seumpama ini dapat dibendung bersama.
Selain itu, beliau menyarankan agar setiap pemegang taruh sukan memainkan peranan dengan mengambil langkah susulan yang menyeluruh.