Keputusan kemasukan pengembara dari China ditentukan kabinet

Iklan
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Selasa. - Foto: Bernama

SEPANG - Sebarang keputusan berkaitan ketibaan pengembara luar negara khususnya dari China perlu dibincangkan secara komprehensif dan diputuskan di peringkat Kabinet, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, keputusan itu perlu dibuat secara bersama dengan mengambil input daripada pelbagai kementerian dan bukan hanya Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja kerana ia melibatkan aspek ekonomi, pelancongan serta keselamatan rakyat.

Iklan
Iklan

Katanya, beliau berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi sesi taklimat berkaitan isu pengembara luar negara yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

"Esok, kita akan bentangkan fakta yang kita ada dan sebarang kemungkinan berkaitan. Insya-Allah kita harap ada satu keputusan terbaik yang mengimbangkan dari sudut sains dan data serta persepsi masyarakat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini pada Selasa.

Lonjakan ketara kes Covid-19 di China mengundang kegusaran banyak pihak termasuk rakyat Malaysia yang mahu kerajaan mengambil langkah kawalan terbaik seperti melakukan ujian saringan Covid-19 sebaik pengembara tiba di pintu sempadan negara.

Iklan

Dr Zaliha berkata, ketibaan pelancong luar negara di kedua-dua lapangan terbang itu dipantau tanpa sebarang diskriminasi setakat ini dan sekiranya didapati tidak sihat mereka akan dihantar ke fasiliti kesihatan terdekat.

Menurutnya beliau berpuas hati dengan langkah yang dilaksanakan buat masa ini berkaitan pencegahan Covid-19.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah pencegahan seperti disarankan KKM iaitu pemakaian pelitup muka dan menerima dos penggalak, selain menjaga kesihatan kendiri.- Bernama.