BAITULMAQDIS - Menteri ‘ekstremis’ Israel, Itamar Ben-Gvir pada Selasa melakukan tindakan provokasi dengan menceroboh pekarangan Masjid al-Aqsa (Haram al-Sharif) buat pertama kali sejak menyertai kerajaan gabungan baharu.
"Kerajaan kami tidak akan sesekali menyerah kepada ancaman Hamas,” katanya dengan angkuh sebagai respons terhadap amaran diberikan gerakan tersebut yang menyifatkan ia sebagai perbuatan melangkaui ‘garisan merah’.
Iklan
Iklan
"Kuil Gunung adalah tempat paling penting buat penduduk Israel dan kami mengekalkan kebebasan bergerak untuk orang Muslim dan Kristian. Penduduk Yahudi juga mempunyai hak,” ujarnya merujuk kepada Haram al-Sharif dalam satu kenyataan yang dijangka membangkitkan lagi kemarahan orang Islam.
Sebelum ini, Ben-Gvir telah melobi untuk merombak pengurusan lokasi itu yang ditadbir oleh Majlis Hal Ehwal Islam Waqf bagi membenarkan golongan Yahudi beribadat di situ, namun langkah itu ditentang pihak berkuasa rabai arus perdana.
Menurut pengawal Waqf, Ben-Gvir diiringi pasukan rejim Zionis bersama sebuah dron yang berlegar-legar di ruang udara tempat ketiga paling suci bagi orang Islam tersebut.
Kementerian Luar Palestin turut mengecam tindakan provokatif yang berpotensi mencetuskan konflik seperti Intifada Kedua yang berpunca daripada lawatan kontroversi, Ariel Sharon pada tahun 2000. - AFP
Artikel Berkaitan