KUALA SELANGOR - Polis menahan seorang pekerja syarikat kawalan keselamatan selepas disyaki terbabit dalam kes curi wang daripada sebuah mesin wang automatik (ATM) di sebuah institusi pengajian di Bestari Jaya di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di kediamannya di Kundang pada jam 1.45 pagi.
Menurutnya, siasatan lanjut di kediaman suspek turut menemui wang tunai berjumlah RM5,000.
Menurut Ramli, kejadian itu disedari seorang rakan suspek yang membuat pembaikan kerosakan mesin ATM pada Ahad.
"Rakan suspek yang curiga kemudiannya membuat laporan polis jam 11.40 malam selepas mendapati satu seal casset bahagian bawah dan casset penolakan wang dalam keadaan terbuka dan tiada wang di dalamnya," ujar beliau.
Katanya, curiga dengan keadaan itu, rakan suspek kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
"Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri" jelas Ramli.