Lebih 80 pesakit jantung adalah lelaki. Ini sebabnya...

Iklan
Dr Effarezan
JANTUNG merupakan organ dalam bahagian tubuh yang sangat penting bagi setiap manusia.

Sehubungan itu, pola penjagaan yang rapi sangat diperlukan bagi memastikan setiap daripada kita tidak menghidap masalah jantung.

Tahukah anda, penyakit jantung atau kardiovaskular merupakan penyebab kematian nombor satu di Malaysia.

Iklan
Iklan

Bukan satu berita yang luar biasa dan mengejutkan lagi apabila laporan mengenai mangsa yang meninggal dunia secara mengejut ketika melakukan sesuatu aktiviti.

Itu semua disebabkan kegagalan jantung berfungsi dengan baik.

Iklan

Lebih merisaukan, trend di negara ini menyaksikan penyakit berkenaan dideritai oleh golongan lelaki pada usia muda.

Bagaimana serangan jantung boleh terjadi dan apa penyebabnya? Bagaimana untuk menghindarkannya?

Iklan

Kepada Sihat:Aktif, beberapa pakar berkongsi pengetahuan mereka tentang penyakit yang sangat digeruni terutama dalam kalangan kaum Adam.

Makan ubat seumur hidup

ALI Abdullah (bukan nama sebenar), 30-an, seorang anggota keselamatan beruniform telah diserang sakit jantung ketika sedang bertugas beberapa bulan lalu.

Siapa sangka beliau mendapat penyakit itu memandangkan dari segi luaran, beliau nampak sihat.

Berdasarkan salasilah kesihatannya, lelaki itu tidak mempunyai masalah obesiti lantaran fizikalnya yang kurus, tiada penyakit kencing manis mahupun darah tinggi.

Jika diikutkan, dirinya juga tidak mempunyai risiko besar untuk mendapat penyakit serangan jantung kecuali faktor dirinya yang merupakan seorang perokok tegar.

Mengimbas situasinya kali pertama terkena serangan jantung, Ali berkata, beliau terpaksa dikejarkan ke Jabatan Kecemasan, Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara.

Dengan kaedah angioplasty (salah satu prosedur bedah jantung), jantungnya berjaya dirawat. Pun demikian, katanya, jika terlewat ke hospital, kemungkinan besar serangan jantung dilaluinya itu boleh menyebabkan organnya lemah.

Dengan definisi mudah, beliau mungkin tidak berjaya diselamatkan.

Selepas mengharungi angioplasty, Ali perlu menyambung proses rawatannya dengan rehabilitasi jantung (fisioterapi) di IJN.

Hakikat nyata yang perlu diterimanya selepas itu ialah beliau perlu makan ubat seumur hidup dan wajib mengamalkan gaya hidup sihat.

Pesakit muda

Demikian kisah seorang pesakit jantung yang dikira masih muda.

Namun, sejak kebelakangan ini, terlalu banyak kes yang dilaporkan di dada-dada akhbar yang mengisahkan tentang individu yang menghembuskan nafas terakhir secara tiba-tiba akibat serangan jantung. Berita itu bukan isu yang memeranjatkan lagi.

Lebih 80 peratus pesakit jantung terdiri kalangan kaum lelaki.

Secara luaran, mangsa nampak sihat. Namun, mereka 'pergi' menghadap Sang Pencipta dalam tempoh terlalu singkat dan tanpa tidak disangka.

Lebih memilukan, mereka tergolong dalam generasi muda! Kes Ali merupakan satu contoh terbaik.

Berdasarkan rekod, purata umur pesakit jantung koronari di Malaysia juga adalah jauh lebih muda berbanding dengan negara-negara maju iaitu 59 tahun.

Merujuk kepada Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2017, rakyat Malaysia mendapat penyakit jantung pada usia 58 tahun berbanding rakyat Thailand (65 tahun), China (63 tahun), beberapa negara Barat (66 tahun) dan Kanada (68 tahun).

Data pesakit jantung mengikut perbezaan gender.

Lingkungan umur berkenaan adalah lima hingga enam tahun lebih muda berbanding lain.

Mengikut data Pusat Infomatik Kesihatan, KKM, bilangan kematian yang disebabkan oleh penyakit kardiovaskular (jantung) di hospital kerajaan pada tahun 2017 adalah sebanyak 10,284 kematian.

Sementara, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2014 pula menyaksikan sebanyak 36 peratus iaitu 52,560 kematian yang berlaku di negara disebabkan oleh penyakit jantung dan strok.

Nampaknya, statistik mereka yang maut akibat penyakit jantung dikatakan kekal sebagai penyebab utama kematian rakyat Malaysia ini memang menggerunkan!

Persoalannya, siapa golongan berisiko mudah mendapat penyakit jantung ini? Apakah ciri-ciri seorang pesakit jantung?

Awas lelaki

Wahai golongan Adam, ini hakikat yang perlu anda terima.

Pakar Jantung IJN, Dr Beni Rusani yang diwawancara Sinar:Aktif memberitahu, fakta perubatan menunjukkan bahawa lelaki lebih ramai yang mendapat penyakit jantung.

Dr Beni

Jelas Dr Beni, faktor menyebabkan penyakit itu disebabkan kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi dalam tubuh, faktor usia, merokok, obesiti dan kurang bersenam serta sejarah keluarga.

"Antara banyak faktor itu, tiga daripadanya memang tak dapat ditukar iaitu jantina, faktor umur dan sejarah keluarga. Menjadi lelaki meletakkan mereka berisiko tinggi mendapat sakit jantung berbanding wanita.

"Wanita biasanya ada hormon estrogen yang melindungi mereka daripada gejala serangan jantung. Hormon ini istimewa sedikit, sebab perasan tak kalau yang sudah putus haid atau menopaus barulah risiko mereka mendapat sakit jantung adalah sama dengan lelaki," kongsinya.

Dalam pada itu, menurut pakar berkenaan, jenis-jenis penyakit jantung wajar diketahui.

"Ramai keliru, menyangka penyakit jantung hanya sejenis sahaja iaitu serangan jantung. Sedangkan, penyakit jantung tidak sama dengan serangan jantung," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut berkenaan penyakit arteri koronari, katanya, ia berlaku apabila salur darah keras dan sempit disebabkan plak kolesterol.

Jika keadaan ini berlanjutan, pengaliran darah ke otot jantung akan berkurangan. Ini akan mengakibatkan sakit dada.

"Seperti kes Ali, faktor masa adalah penting. Istilah dalam perubatan, time is muscle. Jika lebih lama menunggu, lagi banyak kerosakan dinding jantung.

"Mereka yang mendapat serangan jantung perlu makan ubat pencair darah (aspirin) dan ubat antikolestrol selain ubat-ubat lain," katanya.

Sukar sembuh

Mampukah penyakit ini sembuh? Terlalu banyak teori yang diperkatakan. Antaranya pesakit sering dimomokkan kononnya terdapat ubatan tertentu yang dikatakan mampu memberikan sinar baharu dalam hidup mereka.

Kenyataannya, jelas Dr Beni, arteri koronari adalah penyakit kronik. Ia bermaksud penyakit tersebut hanya boleh dikawal.

"Sembuh adalah perkataan yang amat am. Hendak kata akan sembuh susah sedikit kerana konsep sembuh ini maksudnya penyakit itu hilang tapi itu tidak bagi penyakit jantung.

"Jadi bagaimana cara hendak mengawalnya adalah dengan kawal faktor-faktor risiko. Namun, tiga faktor tadi (lelaki, umur dan sejarah keluarga) memang diakui kita tak boleh nak mengawalnya, yang lain boleh," katanya.

Mengenai rawatan, Dr Beni memberitahu, serangan jantung berbeza sedikit disebabkan ia dilabel sebagai 'kecemasan'.

"Pesakit yang terkena serangan jantung perlu ke jabatan kecemasan hospital dan ini mungkin melibatkan rawatan angioplasty serta penggunaan ubat untuk membuka saluran darah tersumbat.

"Ubat-ubatan saja. Tak perlu pergi jumpa bomoh. Jangan mudah terpedaya dengan rawatan yang mendakwa boleh membuka semula saluran darah yang tersumbat kerana dari segi saintifiknya ia tidak mungkin berlaku," katanya.

Mengulas tentang pengambilan suplemen, menurutnya, ia hendaklah berdasarkan konsultasi oleh doktor yang merawat.

Saringan

Turut mengesahkan fakta bahawa penyakit jantung lebih ramai dikuasai golongan lelaki ialah Ahli Jawatankuasa Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia, Dr Effarezan Abdul Rahman.

Dr Effarezan

"Memang benar. Jika dibandingkan dengan wanita, terdapat lebih ramai golongan lelaki (80 peratus) yang menghidap penyakit jantung," katanya kepada Sihat:Aktif.

Menjelaskan punca wujud perbezaan penyakit jantung dari segi jantina, Dr Effarezan berkata, beliau tidak dapat mengenalpastinya secara tepat.

"Bagaimanapun, kajian menunjukkan terdapat perbezaan dari beberapa aspek. Contohnya, dari segi umur yang mana lelaki yang menghidap penyakit jantung selalunya berusia 10 tahun lebih muda berbanding dengan wanita. Kegiatan merokok juga lebih kerap diperhatikan dalam kalangan kaum lelaki," katanya.

Justeru, apa nasihat beliau buat golongan lelaki untuk mengelakkan diri daripada menghidap penyakit yang menjadi mimpi ngeri itu?

Ujarnya, kerajaan Malaysia menggalakkan semua rakyat negara ini tidak kira lelaki atau perempuan untuk menjalankan ujian saringan kesihatan seawal umur 30 tahun dan ke atas di mana-mana pusat perubatan.

Tip

Kepada pembaca Sihat:Aktif, Dr Effarezan berkongsi tip mengelak daripada serangan jantung.

Berikut ialah saranannya:

1 Makan secara sihat:Pelbagaikan pemilihan makanan dan sukatan yang betul. Separuh pinggan diisi dengan sayur dan buah-buahan, suku pinggan diisi protein yang kurang lemak dan suku terakhir dengan karbohidrat.

2 Sentiasa aktif: Aktif setiap hari. Bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

3 Tidak merokok atau vaping: Ia boleh merosakkan paru-paru dan menambah risiko serangan jantung, angin ahmar dan kanser.

4 Menangani stres: Kawal perasaan marah untuk mengurangkan tekanan.

'Berpada-padalah ketika makan, elak makanan berkolestrol'
MEMANG tidak dapat dinafikan, pesakit jantung memang mempunyai pantang larang soal pemakanan.

Itu belum mengambil kira soal suplemen dan ubat-ubatan tambahan yang disyorkan oleh peniaga-peniaga tempatan.

Pakar Jantung, Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Dr Safari Elis tidak menafikan ramai pesakit jantung makan ubat seperti yang disarankan pakar namun sering bertanyakan apa lagi ubat tambahan yang boleh mereka beli.

Dr Safari memberitahu, senario yang biasa berlaku dalam kalangan pesakit jantung ialah mereka akan makan campuran cuka epal, cuka kurma, bercampur lemon dan seumpamanya.

"Mereka kata itu makanan sunnah. Saya tak tahu, saya minta maaf, saya pun ada buat carian mengenainya tapi tak jumpa lagi. Saya minta ustaz-ustaz carikan kebenaran ini untuk saya (tapi belum jumpa).

"Ambil cuka terus minum? Saya tengok pesakit melepuh dalam perut. Lihat melalui skop nampak (perut) merah macam kena curah asid. Memang kacau (ganggu perut)," katanya ketika berkongsikan ceramah berkaitan jantung di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Mengenai pengambilan minyak ikan oleh pesakit jantung, beliau mengetahui ia lebih kepada Omega 3 dan 6."Omega 6 kononnya lebih hebat.

Bagaimanapun, setakat ini, dari segi perubatan kajian klinikal, minyak ikan Omega 3 tiada masalah untuk orang yang pernah kena serangan jantung," katanya.

Bagaimana pula dengan vitamin E?

"Berdasarkan kajian klinikal, tiada kebaikan mahupun keburukan (dari segi pengambilannya oleh pesakit jantung)," katanya.

Pun demikian, perkara yang paling dibimbangi pakar itu ialah kandungan kolestrol dalam badan.

"Biasanya orang sangka tak boleh makan adalah kambing sebab kolestrol. Namun, ia salah, kambing boleh dimakan. Sebenarnya, makanan laut kebanyakannya miliki kolesterol yang tinggi. Minta maaf, saya tak mengharamkan benda yang halal, ia halal boleh dimakan tetapi berpada-padalah," katanya.

Sotong, pelbagai jenis siput seperti lala dan siput susu tahap kolestrol yang tinggi.

Semua jenis ikan dan secara umumnya daging putih tiada masalah untuk dimakan. Daging putih meliputi ayam, itik dan burung.

Bagi daging merah seperti lembu, kerbau dan kambing yang disifatkan mempunyai kolesterol tinggi sedikit, namun, bahagian daging pejal dan batang pinang kurang kolesterol.

Seperkara, makan oat bukan mengurangkan kolesterol tetapi hanya membantu memerangkap minyak.

ANEKDOT

Jenis-jenis penyakit jantung:

Lemah jantung.

Jangkitan kuman otot jantung (myocarditis) atau selaput jantung (pericarditis).

Injap jantung seperti injap bocor. Masalah rentak jantung.

Penyakit kongenital, lahir dengan masalah jantung tidak normal.

Tanda-tanda serangan:

Sakit di tengah dada, 'menyucuk', rasa berat seperti dihempap batu, sakit merebak ke bahu dan tangan kiri hingga rasa kebas.

Berdebar-debar.

Loya dan muntah.

Berpeluh-peluh.

Rasa hendak pitam.

Rawatan awal di rumah:

Sekiranya kali pertama, dapatkan rawatan di pusat kesihatan berdekatan.

Jika pernah mendapat rawatan sebelumnya, letakkan sebiji ubat GTN di bawah lidah dan berehat. Sekiranya sakit tidak lega, letakkan satu lagi ubat GTN di bawah lidah dan dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital. Cuba bertenang. Rawatan di hospital:Ubat IV Streptokinase akan diberikan segera untuk memecahkan darah beku yang menyumbat salur darah di Unit Trauma dan Kecemasan.

Pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Jantung untuk rawatan selanjutnya.

Rawat seterusnya:1.

Angiograma - Cecair pewarna (contrast) akan dimasukkan ke dalam salur darah melalui salur darah di tangan atau di bahagian paha.

2. Angioplasty - Salur darah yang tersumbat dibuka dengan 'belon khas'. 'Belon' akan dibawa keluar selepas prosedur.

3. Angioplasty & Stent - Sekiranya angioplasty tidak berjaya, stent akan diletakkan di dalam salur darah dan ia kekal sehingga akhir hayat. Pastikan ubat plavix (clopidogrel) diambil mengikut masa ditetapkan. Sekiranya tidak diamalkan secara tetap, risiko mendapat serangan jantung berulang adalah tinggi.

4. Pintasan jantung - Salur darah pada betis disambung untuk memintas salur darah tersumbat bagi mengembalikan proses peredaran darah.

5. Ubatan - Ubatan akan diberikan sama ada prosedur di atas berjaya atau tidak dilakukan.

Sumber: www.ummc.edu.my