SHAH ALAM - Kerajaan dinasihatkan untuk tidak berkompromi soal kesihatan dan keselamatan rakyat meskipun kedatangan pelancong asing bakal memberi pulangan yang baik terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, tindakan membenarkan pelancong dari China masuk ke Malaysia dalam masa terdekat hanya merisikokan sistem kesihatan negara.
Menurutnya, kerajaan sebaliknya perlu menunggu sehingga penularan kes Covid-19 di republik itu dapat dikawal terlebih dahulu.
"Semua orang masih risau tentang peningkatan jangkitan kes Covid-19 di China, kenapa kita tidak boleh tunggu lagi satu atau dua bulan sehingga kes di sana terkawal?
"Ekonomi kita sudah bertahan tanpa pelancong dari China datang ke Malaysia sebelum ini. Kenapa kita hendak membenarkan mereka melancong dan meletakkan risiko terhadap negara?
"Saya tidak mahu kita mengulangi kesilapan sama pada awal tahun 2020. Punca Covid-19 ‘mengganas’ ketika itu adalah kerana membenarkan pelancong dari China masuk ke Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, Dr Hanafiah turut menyatakan kebimbangannya berhubung ketepatan keputusan ujian kendiri Covid-19 yang kebiasaannya digunakan oleh pelancong.
"Kit ujian kendiri Covid-19 tidak memberi 100 peratus keputusan yang jitu, wujud kebarangkalian terdapat individu terlepas daripada ujian saringan tersebut.
"Mungkin ada individu dijangkiti Covid-19 tetapi apabila buat saringan, dia didapati negatif, jadi individu berkenaan tetap juga boleh masuk ke Malaysia.
"Jadi, bagaimana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) nak meyakinkan kita bahawa ujian menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 adalah tepat?” soalnya.
Dr Hanafiah turut berharap agar seluruh rakyat Malaysia bersatu dan tingkatkan tekanan kepada kerajaan supaya tidak membenarkan kemasukan pelancong dari China dalam tempoh terdekat ini.
"Pelbagai bentuk tekanan boleh dibuat, misalnya dari segi laporan media, dapatkan pandangan seramai mungkin pakar untuk membincangkan perihal ini secara berterusan.
"Kita galakkan rakyat bersuara dan menceritakan kesusahan masing-masing akibat penularan Covid-19 selama dua tahun ini. Teruskan beri tekanan supaya kerajaan tahu rakyat Malaysia lebih rasional dalam membuat keputusan,” tambahnya.