Daebak Ghost Pepper Spicy Chicken mi segera viral kerana kepedasannya

Iklan
Bagaimana anda mendapat idea untuk melancarkan produk ini?

VUITTON: Apabila kami melancarkan produk makanan Korea iaitu Daebak ‘Spicy Chicken’ dan ‘Kimchi’ tahun lalu, maklum balas diterima amat mengejutkan. Pelanggan kata produk itu kurang pedas. Kami tahu rakyat Malaysia memang sukakan makanan pedas. Berdasarkan maklum balas itu, kami tawarkan apa yang mereka mahu iaitu 'mi segera paling pedas di Malaysia'. Sebab itulah kami keluarkan produk ini.

Uniknya produk ini kerana kami guna ghost pepper iaitu antara cili paling pedas di dunia. Ada saingan kami telah hasilkan produk pedas tapi kami tak tahu tahap kepedasannya. Bagi produk kami, pengguna memang terpesona dengan ghost pepper. Pelanggan rasa ia menarik dan ingin cuba merasai cili terpedas ini. Secara asasnya, kami mahu berikan pelanggan apa yang mereka mahu. Kami juga sedar bila nak buat produk, ia mesti sahih. Jika kami kata produk ada ghost pepper, ia mestilah pedas, baru pelanggan percaya.

Apakah sasaran anda untuk produk ini?

VUITTON: Produk ini hanya untuk jangka masa terhad. Kkita tawarkan 216,000 pek dari tempoh 26 Februari hingga 27 Mei 2019 dan hanya boleh didapati di 7-Eleven. Sebabnya, produk ini terlampau pedas dan tidak boleh jadi produk yang kekal berada di pasaran. Bila hanya boleh diperoleh dalam masa terhad, pastinya pengguna mahu mencuba. Kalau tak cuba, dalam dua tiga bulan memang tidak boleh cari lagi. Jadi, ia meningkatkan keterujaan pelanggan. Objektif kami juga adalah untuk membuat masyarakat mengubah pandangan terhadap jenama ini.

Mungkin masyarakat tidak pasti identiti jenama ini dan kini kami nak tunjuk bahawa jenama Daebak dikenali sebagai jenama yang menghasilkan produk menarik dan unik. Jadi, selepas ini pelanggan akan tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya apakah produk menarik yang akan dihasilkan Daebak.

Setakat ini, apakah maklum balas daripada pelanggan selepas mereka menikmati Daebak Ghost Pepper Spicy Chicken?VUITTON: Maklum balas yang kami terima mengenai produk ini antaranya ialah mi ini sangat pedas tetapi rasanya lazat. Kami tak mahu memperkenalkan produk semata-mata pelanggan rasa pedas sahaja tetapi kami mahu pelanggan rasa ia lazat.

Jika produk hanya pedas, saya tak rasa berbaloi untuk pengguna membeli produk ini. Bila ramai kata pedas tapi lazat, sudah tentu ramai lagi orang nak cuba merasainya. Kami perlu hasilkan produk berkualiti, menepati apa yang dijanjikan dan lazat pada masa sama.

Apakah perancangan anda untuk produk terbaharu Daebak ini?

VUITTON: Kami fokus untuk mengeksport produk ini ke luar negara. Selepas kejayaan produk ini, kami terima banyak permintaan dari negara luar seperti Singapura, Taiwan, Indonesia, Thailand dan Amerika Syarikat. Ini membuka peluang untuk kami pasarkan produk ini ke luar negara. Selain itu juga kami dapati banyak maklum balas daripada media sosial yang meminta kami menambahkan jumlah produk ini di pasaran.

Kami mungkin melancarkan semula produk tetapi untuk jumlah dan jangka masa terhad.

Di Malaysia, sijil halal sangat penting dalam setiap penghasilan produk. Adakah produk ini mempunyai sijil halal?

VUITTON: Ya. Produk ini mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Setiap produk yang kami hasilkan perlu dapatkan sijil halal. Kini ramai rakyat Malaysia suka menonton drama, mendengar muzik Korea tetapi apabila berbicara soal makanan Korea, memang susah nak cari makanan Korea yang dijamin halal oleh Jakim sebab sumber yang digunakan dalam makanan mereka tidak halal. Sekarang kami bangunkan usaha sama dengan syarikat Korea untuk hasilkan sumber makanan halal supaya kami boleh jual kepada restoran-restoran Korea dan pelanggan boleh menikmati makanan Korea yang halal.

Kami cuba bawa makanan Korea kepada masyarakat di Malaysia dan untuk melakukannya, kami perlu mendapatkan pengesahan halal daripada Jakim. Produk ini untuk dinikmati semua orang. Sebab itu penting untuk dapatkan sijil halal. Untuk eksport pula, sijil halal juga penting kerana reputasi sijil halal Jakim sangat dihormati. Justeru, kami pastikan produk diedarkan di sana adalah halal.

Anda ada melancarkan peraduan #canornotchallenge. Bolehkah kongsi maklumat berhubung peraduan ini?

VUITTON: Kami anjurkan peraduan ini kerana rakyat Malaysia suka cabar rakan-rakan mereka. Bagi kami, produk sepedas ini adalah sesuai untuk cabaran. Ada orang yang yakin boleh habiskan mi segera ini tanpa minum air. Jadi apa kata rakamkannya, hantar video kepada kami dan anda berpeluang memenangi telefon bimbit Samsung S10.

Anda boleh lihat video dalam media sosial, ramai yang ambil bahagian dalam cabaran ini.

Anda boleh tengok mereka berpeluh-peluh ketika makan, ini antara video yang mereka mahu tonton. Apa paling penting, produk ini menawarkan pengalaman berbeza. Anda beli produk ini untuk merasai kepedasan ghost pepper dan bila anda makan, anda nak kongsi dengan rakan, nak cabar rakan anda. Melalui promosi mulut ke mulut, produk ini boleh menjadi tular. Jika ke 7-Eleven, anda perlu pergi sekurang-kurangnya ke lima premis, barulah anda dapat membelinya. Memang produk ini sudah tular dalam media sosial.

Untuk info lebih lanjut mengenai produk ini dan cara menyertai peraduan #CanOrNotChallenge sila layari Intagram dan Facebook (DaebakNoodles) dan berpeluang menangi hadiah menarik.

Malaysia mempunyai banyak rangkaian kedai runcit selain 7-Eleven namun anda memilih 7-Eleven untuk memasarkan produk ini?

VUITTON: Kami pastikan produk ini hanya ada di 7-Eleven untuk masa terhad kerana kami faham produk ini tidak boleh dimakan setiap hari. Itu juga merupakan strategi pemasaran. 7-Eleven mempunyai banyak rangkaian, bukan hanya di Lembah Kelang. Tidak adil buat rakyat di Johor, Perak, Sabah dan Sarawak jika produk ini hanya ada di sekitar Kuala Lumpur.

Jadi, kami fikirkan cara terbaik untuk produk ini dipasarkan ke seluruh Malaysia iaitu melalui rangkaian 7-Eleven yang mempunyai 2,200 premis.

Apabila menyebut tentang orientasi produk, ia perlu ada dalam pasaran. Jika buat pemasaran besar-besaran tetapi hanya ada di Kuala Lumpur, tentu pengguna di negeri lain tertanya-tanya kenapa produk ini tidak sampai ke negeri mereka. Itu tidak adil untuk mereka dan sebab itulah kami memilih 7-Eleven kerana jumlah premis mereka yang ada di seluruh Malaysia.

Dalam sosial media, adakah anda mempunyai perancangan publisiti untuk memasarkan Daebak Ghost Pepper Spicy Chicken ini?

VUITTON: Kami ada menjalinkan kerjasama beberapa individu berpengaruh untuk promosikan produk ini. Tetapi saya rasa kerana pengalaman unik selepas pelanggan mencuba, produk ini menjadi tular secara organik. Pendek kata, jika mahu produk anda tular, ia mestilah unik. Dalam Daebak Ghost Pepper Spicy Chicken, warna mi adalah hitam. Mana kamu boleh dapat mi berwarna hitam? Sebab itu, ramai pelanggan mahu kongsikan kepada rakan mereka keunikan produk ini. Selain mi hitam, produk ini memang ‘pedas gila’ dan rasanya juga lazat. Bila ada tiga elemen ini, ia memudahkan produk ini untuk menjadi tular. Anda tidak perlu melabur banyak wang untuk pemasaran.

Bagi saya, apabila menghasilkan sesuatu produk, anda mesti benar-benar memahami kehendak pengguna. Kena tahu apa yang pelanggan mahu. Kami hasilkan produk ini berdasarkan maklum balas yang diterima sebelum ini. Mereka kata produk sebelum ini tidak begitu pedas. Jadi, kami berpendapat kehendak pengguna perlu difahami dan ambil serius pandangan mereka. Dengan itu anda boleh menghasilkan satu produk yang dikehendaki pengguna dan produk anda berpeluang untuk berjaya dalam pasaran. Dengar apa pengguna mahu, berikan apa mereka mahu dan pastikan produk anda berkualiti. Rahsia kejayaan produk ini adalah kualiti.