AWAL Disember tahun lalu, seorang rakan baru sahaja membeli sebuah kereta baharu buatan nasional. Selepas seminggu keluar dari bilik pameran, dia berhajat pulang ke kampung di Pantai Timur sempena cuti sekolah.
Setengah jam melalui jalan persekutuan selepas susur keluar lebuh raya, keretanya terhentak kuat di bahagian hadapan kerana terlanggar lubang di tengah jalan. Bila dia keluar, dilihatnya tayar keretanya ‘bengkak’ dan rim bengkok.
Dipendekkan cerita, terpaksalah dia menukar tayar ganti. Sebelum ke kedai tayar, rakan ini terpaksa membeli tayar baharu dan pembaikan ketuk rim selain membuat pengimbangan tayar. Melayang duitnya beberapa ratus ringgit angkara jalan berlubang.
Trauma seperti ini, pasti sebahagian pemilik kereta atau motosikal pernah melaluinya.
Perlu diakui jalan raya di Malaysia masih banyak yang berlubang dan rosak walaupun pihak Kementerian Kerja Raya meneruskan Kempen Sifar Jalan Berlubang sejak 2016 dan Kempen Kita Jaga Jalan Kita yang dilancarkan pada November 2021.
Masih ada jalan yang menghubungkan kampung dengan pekan, bandar kecil berlubang, rosak dan perlu segera dibaiki.
Jalan ke beberapa tanah rancangan Felda di Pahang misalnya ada yang tidak pernah diturap baharu, sejak mula dibina dan banyak yang berlubang walaupun permohonan penduduk telah lama dibuat.
Di Sabah dan Sarawak, keadaan jalan raya lebih teruk dan tidak memuaskan dan boleh lihat sendiri keadaan di sana melalui pelbagai laman sosial.
Isu jalan berlubang juga merekodkan banyak kes kemalangan berlaku di negara ini.
Menurut Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, sebanyak 285 kes kematian dicatat antara 2014 hingga 2018 berpunca dari jalan berlubang.
"Statistik ini menunjukkan betapa seriusnya kemalangan melibatkan jalan berlubang.
"Ini bukan isu baharu, namun sehingga kini perkara tersebut tiada penyelesaian,” jelasnya.
Antara laporan berita berkaitan jalan berlubang, pada 17 November 2022 seorang mekanik, Tengku Muhamad Khazi Hakimi Ku Hussin, 34, yang putus kaki akibat terjatuh ke dalam lubang dilimpahi air semasa menunggang motosikal di Kilometer 53, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Machang, Kelantan pada 1 Disember 2019 menang saman dan menerima pampasan sebanyak RM652,000.
Pada 24 September lepas, seorang lelaki menang tuntutan pampasan sebanyak RM2,980 terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas keretanya mengalami kerosakan akibat jalan berlubang ketika dia memandu pada September 2020 di Jalan Sungai Long, Kajang.
Fahrurrazi Hamid membawa tuntutan terhadap MPKj ke mahkamah untuk mendapatkan pampasan bagi kerosakan tayar, rim, ruang pelaras dan caj tunda.
Seorang pelajar berusia 17 tahun dari Batu Pahat, Johor, pula meninggal dunia pada 3 November lepas selepas dua hari koma akibat kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke sekolah.
Pelajar itu dikatakan telah melanggar salah satu lubang yang terdapat di tengah jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala.
Pada 10 September lepas, tular video di laman sosial seorang lelaki nyaris dilanggar sebuah kereta apabila motosikalnya hilang kawalan dan terbabas selepas melanggar lubang ketika melalui sebatang jalan raya di Sentul, Kuala Lumpur.
Tidak terkecuali, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sendiri pernah mengalami kecederaan selepas basikal yang ditunggangnya melanggar lubang ketika berbasikal di Kuala Langat, Selangor pada 27 Disember 2020.
Melihat kualiti jalan raya yang teruk ini, tidak hairanlah aktivis, Lando Zawawi atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi terus memperjuangkan isu ini dan membuat kerja turap jalan berlubang secara percuma di seluruh negara sejak 2007 hingga sekarang.
Aktivis sosial Kuan Chee Heng atau 'Uncle Kentang' menerusi laman Facebooknya baru-baru ini mengajak orang ramai untuk turut sama membantunya membaiki jalan raya yang berlubang.
Menurutnya kos untuk membaik pulih tersebut adalah rendah jika dibandingkan dengan kemalangan yang bakal dihadapi terutama oleh penunggang motosikal.
Jika ramai individu seperti Lando dan Uncle Kentang ini muncul di setiap negeri dan daerah, pasti statistik kemalangan jalan raya akibat jalan berlubang dapat dikurangkan.
* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Penyunting Sinar Harian