KUALA LUMPUR - Pengurusan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur menganjurkan program Masjid Tour bagi mempromosikan fungsi dan peranan masjid sebagai masjid pelancongan di ibu negara.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (JAWI) dalam satu kenyataan berkata, program sempena tahun baharu itu bagi menyebarkan konsep cinta (al-Hub), kasih sayang dan perpaduan serta keharmonian yang menjadi asas kerukunan dalam Islam.
Menurut kenyataan, matlamat program juga untuk membantu para pelancong dari dalam dan luar negara agar dapat mengikuti pelbagai aktiviti menarik dijalankan dalam program Masjid Tour.
"Mereka juga berpeluang untuk menyertai aktiviti permainan sunnah dan tradisional seperti memanah, menangkap ikan, boling tin, bola sepak, bola beracun, tiup belon, dan pelbagai lagi," kata kenyataan itu pada Rabu.
Seramai 601 orang pelancong menyertai program pada kali ini terdiri daripada warga negara Indonesia, Australia, Taiwan, Perancis, India, China, Denmark, Rusia, United Kingdom, dan banyak lagi.
"Seramai 15 orang Pemandu Pelancong dari Islamic Outreach ABIM Centre dan 50 sukarelawan dari Fakulti Pelancongan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut membantu menjayakan program ini," kata kenyataan itu lagi.