10 PATI Filipina cuba masuk Semporna

Iklan
Bot yang digunakan untuk menyusup masuk ke perairan Laut Singamata. - Foto ihsan PPM

SEMPORNA - Dua kanak-kanak antara 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas mereka cuba menyusup masuk ke Semporna melalui perairan laut Singamata, Semporna, semalam.

Dalam tangkapan sekitar jam 12.30 tengah hari itu, PATI dipercayai warga Filipina menaiki bot jenis tempel dikesan PPM melalui Ops Gelora Khas.

Iklan
Iklan

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam operasi khas itu, anggota Unit Gempur Marin (Ungerin) bersama anggota bot tempur RH46 berjaya memintas dan menahan bot yang dikendalikan lelaki Palauh (suku nomad yang tinggal dalam bot) bersama pembantunya masing-masing berumur 40 dan 20 tahun.

"Pemeriksaan terhadap bot itu mendapati, lima lelaki dan tiga wanita serta dua kanak-kanak perempuan berumur dalam lingkungan lima hingga 65 tahun dipercayai berasal dari Bongao, Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan
Kanak-kanak antara 10 PATI yang ditahan. - Foto ihsan PPM

Mohamad Pajeri berkata, siasatan lanjut yang dijalankan mendapati semua PATI berkenaan mengaku membayar sebanyak 2,500 Peso Filipina (RM199) sebagai bayaran untuk menyusup masuk ke Semporna.

"Pemeriksaan terhadap juragan bot turut menemui mata wang Peso Filipina selain barangan peribadi yang disimpan dalam ruangan bot tempel berkenaan.

Iklan

"Semua PATI ditangkap termasuk juragan bersama pembantunya selain bot dan tiga unit enjin pam bernilai RM10,863 turut disita.

"Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigressen 1959/63,” katanya lagi.