Piala AFF: Wilkin sifatkan pencapaian tak pernah dijangka

Iklan
Wilkin (tiga dari kiri) menjaringkan gol ketiga Malaysia ketika aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Singapura pada malam Selasa. - Foto Bernama

MENJARINGKAN gol untuk Harimau Malaya di hadapan penyokong tuan rumah sememangnya sesuatu yang tidak pernah dijangka, kata pemain tengah kacukan Malaysia-England, Stuart Wilkin.

Wilkin berkata, beliau tidak menyangka dapat menjaringkan dua gol dalam saingan Kumpulan B Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menewaskan Singapura 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sekali gus melakar prestasi unggulnya sehingga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Iklan
Iklan

"Saya seorang pemain yang sentiasa percaya pada diri sendiri. Saya jarang menjaringkan gol dalam bola sepak Malaysia. (Namun) berjaya menjaringkan dua gol di hadapan lebih 65,000 peminat membuatkan saya tersenyum.

"Ia adalah malam yang menakjubkan. Saya harap dapat menjaringkan lebih banyak gol dalam jersi Malaysia selepas ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas perlawanan di sini malam Selasa.

Iklan

Selepas Darren Lok menjaringkan gol pertama untuk Malaysia pada minit ke-35, kesilapan penyerang gantian Singapura Shawal Anuar menahan bola membolehkan Wilkin menguasai semula perlawanan dan melepaskan rembatan kencang dari luar kotak pada minit ke-50.

Empat minit kemudian, beliau sekali lagi mencuri tumpuan dengan gol kedua sekali gus menambah jumlah golnya kepada tiga pada kejohanan itu, selepas menjaringkan gol pertamanya menewaskan Laos 5-0 pada 24 Dis lepas di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Iklan

Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, pemain Sabah FC itu menyifatkannya sebagai kemenangan menakjubkan dalam Causeway Derby sebagai satu daripada malam terbesar bagi arena bola sepak negara dan memuji barisan kejurulatihan atas dedikasi serta kerja keras mereka di belakang tabir.

Mengakui bahawa perjalanan sukar menanti Malaysia pada separuh akhir menentang juara Kumpulan A Thailand selepas ini, pemain berusia 24 tahun itu bagaimanapun berkata beliau hanya mahu merebut peluang itu dan cuba memberikan keputusan terbaik untuk mara ke final.

Vietnam menewaskan Myanmar 3-0 pada satu lagi aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi semalam, sekali gus mengumpul 10 mata, diikuti Malaysia (sembilan mata), Singapura (tujuh mata) serta Myanmar dan Laos (masing-masing satu mata).

Satu lagi saingan separuh akhir melibatkan pertembungan antara Vietnam dengan naib juara Kumpulan A, Indonesia. - Bernama